Kelantan bimbing LGBT melalui kelas fardu ain, al-Quran

Iklan
Mohd Asri ketika menjawab soalan di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Selasa.

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan mendidik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melalui penganjuran kelas fardu ain dan pengajian al-Quran secara berkala sejak tahun 2019.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Iklan
Iklan

Menurutnya, program khas tersebut merupakan antara mekanisme berterusan kerajaan negeri untuk menyantuni golongan remaja termasuk yang terjerumus dalam kancah sosial dan berisiko, agar mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Kelas ini dimulakan pada tahun 2019, namun terpaksa dihentikan sementara pada tahun 2020 susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

“Kelas disambung semula secara aktif bermula Jun tahun lepas dan kini dilaksanakan dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Sabtu, melibatkan 20 peserta tetap daripada komuniti LGBT termasuk transgender,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Harun Ismail pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Asri berkata, program itu memberi fokus kepada pengajaran tajwid dan ilmu asas fardu ain, yang dikendalikan oleh empat fasilitator daripada Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK).

Lebih penting, katanya, program tersebut mula menunjukkan kesan positif apabila terdapat dalam kalangan peserta yang berubah dari sudut perilaku dan perwatakan, termasuk yang berjaya keluar daripada radar LGBT secara terbuka.

“Ada peserta yang bermula dari Iqra’, kini boleh membaca al-Quran dengan baik. Ada juga yang berubah, kembali mengamalkan gaya hidup selari dengan syariat.

“Ini adalah bukti bahawa pendekatan dakwah yang menyantuni, mendidik dan istiqamah lebih berkesan dalam membina akidah,” katanya.