Pasport palsu RM400, siap 10 minit sahaja

Iklan
Wan Mohammed Saupee (kanan) meneliti antara dokumen yang ditemui dalam serbuan di sebuah unit apartment di Kepong pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi di sebalik sebuah unit apartmen di Kepong, di sini didapati mampu menghasilkan senaskhah pasport palsu dalam tempoh hanya kira-kira 10 minit.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar menerusi Ops Serkap yang bermula kira-kira jam 11 malam Isnin, dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Serbuan tersebut menemui ratusan naskhah pasport yang sedang diproses di dalam kediaman tiga bilik itu.

Dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an yang disyaki ahli sindiket berkenaan didapati sedang leka memproses pasport palsu di dalam sebuah bilik ketika serbuan dijalankan ke atas unit kediaman yang terletak di tingkat sembilan itu.

Iklan

Malah, mereka mendakwa menerima bayaran gaji sebanyak RM2,500 untuk melakukan kerja berkenaan.

Selain pasport yang disyaki palsu, turut ditemui sejumlah dokumen berkaitan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang diperlukan oleh buruh asing untuk bekerja di Malaysia.

Iklan

Antara naskhah pasport yang ditemui dalam serbuan di unit apartmen di Kepong pada Isnin.

Difahamkan, sindiket tersebut mengenakan caj sebanyak RM400 bagi setiap pasport palsu.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff yang mengetuai operasi berkenaan berkata, serbuan hasil risikan selama sebulan mendapati modus operandi sindiket ialah menyediakan dokumen perjalanan (pasport) palsu bagi memperdaya pihak klinik untuk mendapatkan laporan FOMEMA.

“Sindiket akan menggunakan butiran peribadi individu berstatus ‘fit’ dan menukar wajah pada pasport kepada individu berstatus ‘unfit’ bertujuan menipu laporan darah dan X-Ray.

“Warga asing terbabit kemudian akan menggunakan laporan FOMEMA berkenaan untuk tujuan permohonan melanjutkan tempoh pas masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati keseluruhan transaksi antara pelanggan dan ejen dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp dan tempahan disalurkan kepada dua suspek yang ditahan bagi tujuan pemprosesan.

Jelasnya, bayaran dibuat menerusi satu akaun bank yang disyaki milik individu berpangkalan di Bangladesh.

“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, khususnya warga asing yang bersubahat melakukan aktiviti jenayah ini,” ujarnya.

Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63.