Pulau Teluk Renjuna sudah ada tanah kubur

Iklan
Mohd Amin Zulkahar (kiri) berdiri di pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Mukim Teluk Renjuna di gugusan kepulauan di Tumpat. (Gambar kecil: Mohd Amin Zulkahar, Shamsul Kamal)

TUMPAT - Tanah perkuburan pertama di Pulau Teluk Renjuna di sini akhirnya menamatkan keperitan penduduk yang sekian lama terpaksa membawa jenazah menaiki bot merentasi Sungai Kelantan untuk dikebumikan di tanah besar.

Bagi nelayan, Shamsul Kamal Junuh, 50, kewujudan Tanah Perkuburan Islam Mukim Teluk Renjuna amat bermakna kerana sebelum ini waris terpaksa berulang-alik menaiki bot, malah bergadai nyawa setiap kali berlaku kematian ketika air pasang atau cuaca buruk.

Iklan
Iklan

“Saya sendiri tak pernah tengok ada kubur di sini sejak lahir. Kalau ada kematian, jenazah perlu diusung ke jeti atau naik motosikal roda tiga.

“Dari situ kena naik bot untuk ke tanah besar. Sekarang ini mudah, tak perlu semua itu,” katanya yang tinggal bersama isteri, Siti Fatimah Musa, 49, dan empat anak di pulau itu.

Iklan

Menceritakan pengalamannya baru-baru ini, Shamsul berkata, abang iparnya, Adam Musa, yang tinggal di Pulau Suri turut dikebumikan di tanah perkuburan baharu berkenaan selepas meninggal dunia akibat apendiks, memandangkan pulau itu boleh diakses ke Pulau Teluk Renjuna melalui jalan darat.

“Kalau kubur ini belum wujud masa tu, jenazah abang ipar saya pasti kena bawa naik bot ke tanah besar,” katanya.

Iklan

Shamsul turut berkongsi kisah ibunya yang meninggal dunia tahun lalu selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Arwah sakit dan kami bawa naik bot ke hospital.

“Lepas meninggal, kami tak bawa balik ke pulau sebab nak kebumikan semula di sini pun kena naik bot. Jadi kami kebumikan di Kubur Che Latif, Kuala Besar,” katanya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Al-Ahmadiah, Mohd Amin Zulkahar Sha’ri memaklumkan, tanah perkuburan seluas 0.4 hektar itu berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), manakala urusan hak milik sedang dilengkapkan bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

“Kubur ini mula digunakan sejak Disember 2023 dan setakat ini sudah 17 jenazah dikebumikan di sini,” katanya.

Menurut beliau, kawasan perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter dari Jeti Teluk Renjuna dan hanya 250 meter dari Masjid Al-Ahmadiah itu boleh memuatkan antara 150 hingga 200 jenazah.

Kewujudannya sekali gus memberi rahmat besar kepada lebih 3,000 penduduk Pulau Teluk Renjuna dan pulau-pulau berdekatan yang boleh mengakses pulau itu melalui jalan darat, iaitu Pulau Beluru, Pulau 100, Pantai Haji Nik Mat, Pantai Suri dan Pantai Baru.

Bahkan, ia lebih dekat kepada enam lagi pulau kecil lain di sekitarnya yang boleh dihubungi menggunakan bot berbanding sebelum ini tiada alternatif pengebumian selain di tanah besar.

Bagi remaja dari Pulau 100, Muhammad Adam Fitri Mohd, 17, yang pernah melihat sendiri proses membawa jenazah keluar dari pulau, kewujudan tanah perkuburan di pulau itu amat melegakan.

“Kalau ada kematian di sini memang susah, kena cari bot dan jeti terdekat.

“Sekarang ini semua lebih mudah, tak perlu keluar pulau dah, rasa sangat lega,” katanya.

Selain Pulau Teluk Renjuna, beberapa lagi gugusan pulau kecil lain seperti Pulau Timun dan Pulau Tokang tidak mempunyai kemudahan tanah perkuburan sendiri.

Bagi penduduk pulau-pulau lain itu, waris masih lagi perlu menggunakan bot kerana ketiadaan jalan darat untuk membawa jenazah ke kubur di Pulau Teluk Renjuna.

Namun, jaraknya lebih dekat atau boleh juga dibawa ke tanah besar di Banggol dan Che Latif di Kota Bharu, ataupun ke Kubur Dato, Sungai Pinang, Kok Keli serta Kok Pasir di bahagian bandar Tumpat.