KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memuji tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh komuniti penunggang RXZ yang membanjiri negeri ini sempena penganjuran RXZ Forever Legend apabila tiada sebarang pelanggaran peraturan dan kemalangan diterima pihaknya sepanjang tempoh dua hari program tersebut berlangsung.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, maklumat awal mendapati pergerakan kumpulan penunggang yang memasuki negeri itu sejak Khamis malam hingga Jumaat berjalan dalam keadaan teratur tanpa sebarang unsur provokasi.
“Sehingga saat ini, saya dapati para pengunjung begitu berdisiplin. Maklumat awal menunjukkan mereka bergerak dengan baik, tiada unsur provokasi dan pemantauan di sekitar bandar juga mendapati penunggang RX-Z sangat berdisiplin.
“Kebanyakannya pula mengambil peluang meneroka tempat-tempat makan di Kelantan dan ini satu perkara yang sangat positif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang turut meluangkan masa menunggang motosikal RX-Z bersama peserta.
Mohd Misuari berkata, pihaknya berasa bangga dengan sikap komuniti RX-Z yang hadir kerana setakat ini JPJ tidak menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan melibatkan penunggang motosikal berkenaan.
Beliau percaya mereka yang hadir benar-benar lengkap dari segi pematuhan peraturan, memandangkan sebelum ini JPJ Kelantan telah memberi peringatan supaya tidak hadir sekiranya kenderaan dan kelengkapan tidak lengkap.
Menurutnya, aspek keselamatan nyawa perlu terus menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran selepas ini, khususnya membabitkan pergerakan berkumpulan serta perjalanan pulang peserta ke destinasi masing-masing.
Katanya, dari segi penganjuran, perkara itu diserahkan kepada pihak penganjur kerana mereka lebih mengetahui keperluan dan pematuhan yang perlu dilaksanakan, namun yang paling penting adalah keselamatan nyawa.
“Saya berharap semua yang hadir, sama ada secara berkumpulan atau individu, terus mengekalkan disiplin ini sehingga ke perjalanan pulang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sikap positif komuniti RX-Z kali ini sebagai satu contoh kepada penganjuran program permotoran berskala besar yang boleh berlangsung dalam suasana harmoni, selamat dan berdisiplin tanpa menjejaskan ketenteraman awam.