Datang tunggang RX-Z, pulang pandu Mini Cooper

Iklan
Che Mohd Ayub gembira diumumkan sebagai penerima utama hadiah cabutan bertuah semasa himpunan permotoran RXZ Forever Legend, sekali gus berjaya membawa pulang sebuah kereta jenis Mini Cooper. Foto: Hazelen Liana Kamarudin

KOTA BHARU – Seorang peniaga tomyam tidak pernah menyangka rezeki ‘luar biasa’ menyapanya apabila namanya diumumkan sebagai penerima utama hadiah cabutan bertuah semasa himpunan permotoran RXZ Forever Legend, sekali gus berjaya membawa pulang sebuah kereta jenis Mini Cooper.

Che Mohd Ayub Kamaruzaman Che Abdullah, 38, dari Kok Keli, Tumpat, merupakan antara kira-kira 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara yang hadir memeriahkan himpunan tersebut yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini.

Iklan
Iklan

“Ini merupakan kali pertama saya bertuah dan sebaik sahaja mendengar nama diumumkan, ia bagaikan satu mimpi.

“Tidak sangka hari ini (Sabtu) datang menunggang RX-Z, pulang memandu Mini Cooper. Alhamdulillah,” katanya.

Iklan

Che Mohd Ayub (dua dari kanan) merupakan antara kira-kira 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara yang hadir memeriahkan himpunan permotoran RXZ Forever Legend. Foto: Hazelen Liana Kamarudin

Bapa kepada dua anak itu memberitahu, kereta berkenaan akan dihadiahkan kepada anak sulungnya, Farah Maisarah, 19, yang kini sedang mengikuti pengajian di Management and Science University (MSU).

Iklan

Ujarnya, bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah tersebut, dia telah membelanjakan hampir RM500 dengan membeli beberapa helai baju yang dijual sepanjang program berkenaan.

Tambahnya lagi, kemenangan itu dianggap sebagai rezeki tidak disangka-sangka dan menjadi kenangan terindah sepanjang penglibatannya dalam dunia permotoran RX-Z.