KUDAT - Tindakan nekad kru sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) dari Vietnam yang cuba merempuh bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk meloloskan diri membawa padah apabila mereka ditahan di perairan Kudat, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seramai lima lelaki warga Vietnam berusia antara 28 hingga 39 tahun ditahan bersama rampasan bernilai lebih RM2 juta.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot ronda Cenderawasih 10 sedang melakukan rondaan sebelum diarahkan ke lokasi selepas menerima aduan awam.
“Vesel berkenaan dikesan kira-kira 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit, Pulau Malawali.Ketika cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda dan membiarkan tali tersebut terjuntai di bahagian belakang vesel.
"Mereka juga memasang palang besi di sisi kiri dan kanan vesel serta enggan memberi kerjasama walaupun diarahkan berhenti. Malah, suspek turut cuba merempuh bot ronda yang mendekati mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan tindakan agresif itu, berlaku aksi mengejar selama kira-kira 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat ke atas vesel terbabit dan menghentikannya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti menunda dan menangkap balat menggunakan peralatan khas yang diperbuat daripada besi padu.
“Turut ditemui kira-kira 40 kilogram hasil laut disyaki balat serta lebih 300 liter diesel. Lima lelaki warga Vietnam turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurut Hasbullah lagi, kesemua tangkapan dan barang rampasan termasuk hasil laut diiring masuk ke jeti Maritim untuk tindakan lanjut.
“Keseluruhan nilai rampasan, termasuk vesel dan peralatan yang digunakan dianggarkan melebihi RM2 juta.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.