GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas tersepit di bahagian pemandu apabila lori simen yang dipandunya terbalik ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP), Jalan Residensi, di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga Indonesia namun identiti dan umur masih belum diperoleh setakat ini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.29 pagi itu, lori simen berkenaan dipercayai hilang keseimbangan sebelum terjatuh menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 11.35 pagi dan operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota dari BBP Lebuh Pantai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, operasi diketuai seorang pegawai dengan kekuatan 13 anggota termasuk penyelia dan ketua balai.
"Komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri lengkap dan menggunakan peralatan khas kebombaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Operasi turut dibantu sebuah kren yang berada di lokasi. Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.55 tengah hari namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.16 petang.
Ends.