SHAH ALAM – Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut pengisytiharan bahawa teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan adalah teks sahih dan mengatasi versi bahasa Inggeris.
Saman itu difailkan pada Isnin melalui firma guaman Tetuan Ahmad Fuad Abi & Aidil dalam kapasiti peribadi beliau.
Menurut Haniff, tindakan itu berasaskan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa apabila Perlembagaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks tersebut sebagai teks sahih.
“Sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, walaupun Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan pada 29 September 2003, kerajaan masih gagal, enggan atau mengabaikan tanggungjawab untuk menguatkuasakan kedudukan teks tersebut sebagai teks sahih.
“Tindakan ini jelas merupakan satu kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk melaksanakan proses dan prosedur tadbir urus yang sah, termasuk memartabatkan serta mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Haniff turut menyifatkan kegagalan itu sebagai tidak munasabah bagi sebuah negara merdeka dan berdaulat seperti Malaysia yang sehingga kini belum mempunyai teks sahih Perlembagaan dalam bahasa kebangsaannya sendiri.
“Betapa penting pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah intipati langsung kepada keutuhan patriotisme saya sebagai rakyat Malaysia.
“Patriotisme ini terjejas dan akan terus terjejas jika undang-undang tertinggi negara masih tidak dianggap wujud dalam bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa saman tersebut bertujuan menuntut Kerajaan Malaysia melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab perlembagaan dengan memastikan teks.
Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan diiktiraf secara sah dan berkuat kuasa sebagai rujukan utama perundangan negara.