[VIDEO] 'Kek batik, roti telur makanan terakhir dibawa ke asrama'

Iklan

SIPITANG -"Dalam sebulan ini, anak saya selalu minta kek batik. Jadi saya sediakan dua atau tiga bekas. Satu untuk dia, satu lagi untuk kawan-kawan sebilik,"

Demikian luahan syahdu Noraidah Lamat, 45, ibu kepada pelajar perempuan Tingkatan Satu yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut Noraidah, anak tunggalnya itu turut memasakkan roti telur untuk dibawa ke asrama pada pagi Ahad lalu, sebelum kembali ke asrama.

"Kalau di rumah, dia memang suka makan kek batik tapi hari Ahad itu sebelum ke asrama dia sendiri masakkan roti telur.

Iklan

"Itulah makanan terakhir yang dia bawa, yang dia masak di rumah dan saya hairan pada waktu itu. Mahu balik ke asrama sudah, mahu lagi memasak roti telur dan dia masak untuk kami," katanya hiba mengingat anaknya yang telah pergi selamanya.

Noraidah berkata, anaknya turut menunjukkan kelainan apabila memilih untuk kembali ke asrama pada waktu petang, tidak seperti kebiasaannya.

Iklan

Noraidah ketika menerima sumbangan daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang baru-baru ini.

"Selalunya dia balik ke asrama waktu pagi, tapi hari tu dia kata, ‘Mama, nanti Zara balik lambat, hari Ahad," katanya.

Dalam pada itu, Norainah berharap tiada sebarang perkara disembunyikan dalam siasatan berhubung insiden yang menimpa anak tunggalnya itu.

"Saya mahu kes ini disiasat dengan telus, adil dan saksama serta tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak betul.

"Sekarang sedang dalam siasatan polis, jadi saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan. Saya telah dua kali pergi ke balai polis," ujarnya.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco pendidikan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif telah menziarah Noraidah di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, di sini.

Dalam ziarah tersebut, Noraidah turut menerima sumbangan peribadi daripada Mohd Arifin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Pengarah Yayasan Sabah merangkap ADUN Kawang, Datuk Datuk Ghulam Haidar Khan; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Sementara itu, Mohd Arifin memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis, termasuk berkaitan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.

"Ini dalam siasatan polis. Kita serahkan nanti, kita tunggu nanti hasil siasatan berkenaan," katanya.