Kes saman Yusoff Rawther: Mahkamah Rayuan benar permohonan Anwar ditangguh

Iklan
Mahkamah Rayuan benarkan permohonan saman Yusoff Rawther terhadap Anwar ditangguh.

SHAH ALAM - Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan semua prosiding berkaitan kes saman sivil yang difailkan terhadapnya oleh bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.

Kes membabitkan dakwaan insiden berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 16 Jun lalu, namun telah diberikan penangguhan interim sebelum ini.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan itu sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap rayuan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang, termasuk isu sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang mempengerusikan panel berkata, mahkamah mendapati terdapat keadaan istimewa bagi membolehkan penangguhan diberikan.

Iklan

"Jika permohonan ini tidak dibenarkan, rayuan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang akan menjadi sia-sia," katanya dalam prosiding itu.

Jelas Che Mohd Ruzima, penangguhan itu juga tidak akan menjejaskan atau memprejudis mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Iklan

Dua lagi panel hakim yang bersidang ialah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Dr Lim Hock Leng.

Pada prosiding sebelum ini, peguam mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alan Wong Teck Lee berhujah bahawa meneruskan perbicaraan pada 16 Jun lalu akan memberi kesan bahawa rayuan anak guamnya tidak boleh diubah dan segala kerugian yang dialami tidak dapat dipulihkan.

Menurutnya, isu Perlembagaan yang dibangkitkan Anwar berhubung permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang itu akan diatasi oleh peristiwa yang berlaku, menyebabkan sebarang keputusan selepas itu menjadi tidak relevan.

“Proses rayuan itu sendiri akan terbantut dan seolah-olah ditolak, malah bersifat akademik,” katanya.

Bagaimanapun, peguam mewakili Muhammed Yusoff Rawther, Muhammad Rafique Rashid Ali membantah penangguhan dengan alasan ia akan mengganggu jadual mahkamah dan menjejaskan hak anak guamnya untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.

Katanya, hak Muhammed Yusoff untuk mendapat akses kepada keadilan adalah hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Anwar telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan itu termasuklah sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi sebelum dilantik ke jawatan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan bagi pengurusan kes seterusnya.