Padah langgar syarat lesen, bot bawa 42 penumpang ditahan

Iklan
Antara bot yang ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi khas di perairan Pulau Redang pada Ahad.

KUALA TERENGGANU – Tindakan pengusaha bot yang membawa hingga 42 orang penumpang dalam satu perjalanan di perairan Pulau Redang mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Khas Maritim Malaysia di perairan pulau tersebut, pada Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot berkenaan merupakan antara tujuh buah bot yang ditahan selepas didapati melanggar pelbagai peraturan dan undang-undang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan bot tersebut yang melanggar syarat lesen dengan membawa lebih daripada 12 penumpang disifatkan sebagai satu kesalahan serius dan tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mengorbankan nyawa.

"Bot tersebut membawa hingga 42 penumpang dalam satu masa dan tindakan ini mempertaruhkan keselamatan semua yang berada atas bot.

Iklan

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan nyawa," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 26 buah bot penumpang telah diperiksa dan seramai 14 kru serta nakhoda kini sedang disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Iklan

"Siasatan mendapati bot-bot yang ditahan turut melakukan kesalahan lain seperti tiada senarai nama penumpang, nama nakhoda tidak sama seperti yang tertera dalam lesen serta lesen operasi yang telah tamat tempoh.

"Apa yang membimbangkan, kes seperti ini terus berulang meskipun pelbagai amaran telah dikeluarkan. Ini bukan masa untuk beri amaran lagi. Ini masa untuk bertindak tegas," katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan memperhebatkan operasi penguatkuasaan di kawasan tumpuan pelancong terutama menjelang musim cuti sekolah dan perayaan, bagi memastikan keselamatan di laut terjamin.

Katanya, orang ramai turut diseru agar tidak berdiam diri sebaliknya segera melaporkan sebarang aktiviti yang berisiko tinggi kepada pihak berkuasa.

"Keselamatan laut bukan hanya tanggungjawab Maritim Malaysia semata-mata. Ia tanggungjawab bersama. Jangan tunggu tragedi berlaku baru mahu bertindak," tegasnya.