Hanya 93 kes HIV, Kelantan tolak dakwaan negeri paling parah gejala songsang

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Jumlah kes jangkitan HIV yang rendah direkodkan di Kelantan menangkis dakwaan negeri ini paling parah terjejas dengan perlakuan gejala songsang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2023 hanya 93 kes atau 2.48 peratus yang direkodkan di seluruh negara melibatkan negeri ini.

Iklan
Iklan

"Mengikut data itu, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 1,062 kes (28.29 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 357 kes (9.51 peratus), Sabah 320 kes, (8.52 peratus), Pulau Pinang 256 kes (6.82 peratus) dan Sarawak 248 kes (6.61 peratus).

"Fakta ini secara jelas menolak dakwaan liar yang cuba menggambarkan kononnya Kelantan merupakan negeri paling parah terjejas oleh gejala songsang," katanya pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, Kelantan sentiasa serius melindungi masyarakat daripada kerosakan moral.

Ujarnya, negeri ini melaksanakan dasar berasaskan Islam termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 sebagai usaha mencegah penularan gejala tidak sihat.

Iklan

Mohamed Fadzli memberitahu, pendekatan tersebut bukan bertujuan menghukum sewenang-wenangnya, sebaliknya untuk menjaga kesejahteraan rakyat agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang bercanggah dengan ajaran agama.

"Statistik menunjukkan pola jangkitan HIV di Malaysia telah berubah sejak tiga dekad lalu. Pada 1990, 61 peratus kes berpunca daripada penggunaan dadah suntikan (IVDU), namun pada 2024, 64 peratus kes melibatkan hubungan sejenis, diikuti hubungan heteroseksual (32 peratus) dan IVDU hanya tinggal tiga peratus.

"Masyarakat perlu kembali kepada nilai fitrah dan memperkukuh institusi keluarga sebagai benteng utama menghadapi cabaran sosial masa kini.

“Syariat bukan penghalang, sebaliknya pelindung kepada kesejahteraan hidup. Kita perlu berani mempertahankan kebenaran walaupun berdepan tekanan,” katanya lagi.