KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mendedahkan negeri ini masih memiliki tanah rizab Melayu terluas di negara ini.
Beliau berkata, jumlah keluasan pemilikan itu melibatkan 1.36 juta hektar.
“Kelantan boleh dikatakan antara yang tertinggi memiliki tanah rizab Melayu berbanding Perak lebih 955,000 hektar; Kedah, 829,000 hektar; Johor lebih 561,000 hektar dan Pahang 444,000 hektar,” katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin memberitahu, Kerajaan Kelantan tidak menjual atau menukar status tanah rizab Melayu dimilikinya seluas lebih 1.36 juta hektar.
Ujarnya, sebahagian tanah berkenaan hanya diberi pajakan untuk tempoh tertentu.
“Saya mahu perbetulkan fakta, kita tidak menjual atau menukar status tanah rizab Melayu. Memang ada yang kita beri tempoh pajakan kepada syarikat tertentu termasuk untuk Projek Ladang Rakyat selama 30 atau 60 tahun.
“Namun status tanah tidak ditukar sebaliknya apabila tempoh pajakan itu tamat, tanah itu kembali menjadi milik kerajaan negeri.
“Sambung atau tidak tempoh pajakan itu bergantung kepada kerajaan ketika itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).
Terdahulu Mohd Syahbuddin bertanyakan apakah tanah rizab Melayu yang dimiliki Kelantan termasuk yang diberi pajakan kepada syarikat tertentu selama 30 hingga 60 tahun dan adakah status tanah ditukar.
Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, memberi pajakan kepada syarikat tertentu adalah menjadi dasar seluruh negara.
“Untuk membangunkan negeri, kita beri pajakan kepada pelabur dengan tempoh tertentu dan ini adalah dasar seluruh negara, namun statusnya tetap tanah rizab Melayu,” katanya.