TEMERLOH - Festival Kesenian Peribumi Malaysia (FesKEP) 2025 di Pahang kembali menghangatkan Dataran Temerloh dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung pelbagai kaum setakat ini yang bermula sejak Jumaat dan berakhir pada Ahad.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang mengetengahkan keunikan seni budaya, adat resam dan warisan peribumi Malaysia.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pada tahun ini pelbagai aktiviti dijalankan dengan pengisiannya lebih berkaitan dengan rutin serta gaya hidup kesenian khususnya masyarakat Orang Asli dan peribumi sendiri.
“Elemen seperti survival village yang kita terapkan, demonstrasi serta pameran yang dikendalikan oleh para pengusaha dalam kalangan masyarakat peribumi merupakan antara tarikan utama yang ingin kita ketengahkan dalam penganjuran FesKEP kali ini.
“Terima kasih kepada warga Temerloh selepas kali kedua dianjurkan di sini yang terus menyokong dan memastikan festival ini berjalan lancar serta dapat mencapai matlamat penganjurannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian FesKEP yang disempurnakan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan di Dataran Temerloh pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Ujar beliau, pihaknya juga telah menerima permintaan agar festival yang sama dilaksanakan di daerah-daerah lain selain Temerloh.
“Kalau kita lihat dari segi permohonan daripada daerah-daerah lain sebenarnya mereka ingin festival ini dibawa ke sana tapi kita lihat sokongan pihak berkuasa tempatan khususnya Pejabat Daerah Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh mengharapkan ia dikekalkan di sini .
“Tapi kita lihat permohonan dan kerjasama diberikan daerah lain sebab kita juga hendak lihat limpahan manfaat program ini juga akan diterima di tempat lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu JKKN sedang merancang untuk mengangkat status penganjuran festival tersebut ke peringkat antarabangsa.
“Khususnya kita mungkin boleh fokus penglibatan negara-negara ASEAN untuk tahun-tahun akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Yusri memberitahu, penganjuran festival tersebut mencerminkan komitmen MOTAC dalam memartabatkan budaya akar umbi yang menjadi cerminan identiti Malaysia.
“Melalui platform ini, MOTAC bukan sahaja mendekatkan masyarakat umum kepada warisan peribumi, kami komited untuk mengangkat budaya Orang Asli dan peribumi menjadi sebahagian daripada warisan kebangsaan yang kita banggakan bersama,” katanya.