Pandu kereta seawal 11 tahun: Di mana silapnya?

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kereta dipercayai dipandu seorang kanak-kanak didapati terbabas dalam longkang.

TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang memandu kereta bersama adik dan sepupunya sehingga terbabas ke dalam longkang pada Sabtu memberi isyarat jelas mengenai kelompongan dari segi keselamatan jalan raya dan pemantauan ibu bapa atau penjaga.

Kejadian yang berlaku di Jalan Telok Gong, Klang pada jam 10 pagi itu, tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Sudah tentu ia menimbulkan mempersoalkan bagaimana seorang kanak-kanak boleh mendapat akses kepada kunci kereta dan dibenarkan memandu tanpa lesen.

Lebih membimbangkan, kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu itu dipandu sejauh dua kilometer sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Iklan

Meskipun tiada nyawa terkorban akibat insiden tersebut namun, risiko kepada kanak-kanak berkenaan, pengguna jalan raya lain dan keselamatan awam secara keseluruhan tidak boleh dipandang ringan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, tiga kanak-kanak yang terlibat termasuk dua beradik merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan seorang sepupu mereka yang merupakan warga tempatan.

Iklan

Perkara tersebut tentunya membuka ruang perbincangan mengenai status pelarian dan akses mereka terhadap pendidikan serta kesedaran undang-undang di negara ini.

Kejadian berkenaan bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mahu jalan raya bebas daripada pemandu tidak bertauliah.

Pada masa sama, ia turut mencerminkan cabaran sebenar negara dalam mendidik masyarakat berkenaan tanggungjawab, pematuhan undang-undang dan peranan ibu bapa serta penjaga dalam mencegah kejadian seperti ini.

Tidak mustahil insiden seperti ini boleh berulang sekiranya tiada tindakan serius diambil oleh pihak berkuasa.

Justeru, pihak berkuasa perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap penjaga yang cuai dan membiarkan kenderaan mereka digunakan oleh kanak-kanak bawah umur.

Selain itu, kerajaan juga harus memperluaskan program kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya kepada komuniti rentan termasuk pelarian dan warga asing.

Sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej bahaya memandu tanpa lesen serta kepentingan mematuhi undang-undang lalu lintas.

Sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan masing-masing sama ada kerajaan, ibu bapa, komuniti dan masyarakat keseluruhan agar insiden tersebut tidak berulang.