PPN cadang tubuh suruhanjaya khas pantau ketelusan tender kerajaan

Iklan
Abdul Hakim

SHAH ALAM – Kerajaan dicadang menubuhkan suruhanjaya khas bagi mengawasi ketelusan tender nasional serta menggubal dasar mewajibkan kontraktor projek kerajaan mengisytiharkan aset masing-masing bagi membanteras ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek kerajaan bernilai tinggi.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, pendekatan tersebut wajar diberi pertimbangan serius oleh kerajaan sebagai langkah luar kotak dalam usaha memastikan projek kerajaan dilaksanakan secara lebih telus dan berintegriti.

Iklan
Iklan

“Suruhanjaya khas perlu ditubuhkan sebagai entiti bebas di bawah Parlimen yang ditugaskan untuk memantau, menyemak dan melapor semua proses tender serta pelantikan projek awam melebihi RM50 juta.

“Penubuhannya mampu menamatkan budaya rundingan terus, menyingkirkan kartel projek dalam kalangan kontraktor serta memberi kuasa semakan awam secara langsung terhadap pelantikan projek mega,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai berjumlah RM7.5 juta yang ditemui di sebuah rumah dalam serbuan sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, wang tunai yang kebanyakannya terdiri daripada wang kertas RM50 itu disimpan dalam beberapa kotak dan almari di rumah terbabit.

Iklan

Katanya, serbuan tersebut dibuat susulan siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan projek pembinaan pusat data bernilai kira-kira RM180 juta di Johor.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kerajaan perlu menggubal dasar atau akta bagi mewajibkan semua kontraktor utama dan subkontraktor yang terlibat dalam projek kerajaan melebihi RM10 juta untuk mengisytihar harta, pegangan syarikat dan pendapatan tahunan.

Beliau berkata, pengisytiharan itu dapat menutup ruang manipulasi dan rasuah dalam projek infrastruktur, sekali gus memastikan hanya syarikat yang benar-benar telus, berkeupayaan dan berintegriti dipilih dan mengelakkan kekayaan luar biasa tanpa justifikasi.

"Negara ini tidak kekurangan projek, tidak juga kekurangan dana. Yang kita kekurangan hanyalah manusia yang tahu beza antara amanah dan rakus.

"Jika wang RM7.5 juta boleh disusun dalam kotak dan hampir RM1 juta sanggup dibakar semata-mata untuk menutup dosa, maka yang terbakar bukan sahaja wang rakyat tetapi keyakinan terhadap keadilan," ujarnya.

Justeru, Abdul Hakim mendesak agar pengkhianat amanah negara terbabit diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi, kroni serta mahupun sebarang penangguhan.