PADANG BESAR – Cubaan menyeludup 2,646 karton kaki ayam bernilai lebih RM1.4 juta berjaya digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan di tepi jalan berhampiran Kompleks Bebas Cukai Jalan Baru Sadao pada Jumaat.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori kontena sedang memindahkan barangan ke dalam dua buah pikap Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.
Menurutnya, dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dari Penaga, Pulau Pinang telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 18 PGA, Pengkalan Hulu menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis hasil maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 2,646 karton kotak berisi kaki ayam yang cuba diseludup,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Shahrum berkata, kesemua barangan yang dirampas termasuk sebuah lori kontena, dua Toyota Hilux serta 2,646 karton kaki ayam dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1,417,520.
“Kesemua rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan saki baki sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua, boleh dikenakan denda RM150,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.
Shahrum turut menegaskan bahawa Briged Utara PGA tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan utara negara dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan.
“Orang ramai diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara,” katanya.