Grab Malaysia raikan juara Piala Rakan Grab

Iklan

SHAH ALAM – Grab Malaysia baru-baru ini menamatkan kempen bola sepak komuniti terbesar mereka dengan perlawanan akhir Piala Rakan Grab peringkat kebangsaan yang diadakan bersempena Festival Rakan Grab.

Kejohanan yang menyaksikan penyertaan rakan pemandu dan rakan penghantar dari seluruh negeri ini menyaksikan pasukan Langgor FC dari Perak muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan lain yang mewakili negeri masing-masing.

Iklan
Iklan

Piala Rakan Grab yang dilancarkan pada tahun 2024 dengan kerjasama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mencatat lebih 1,200 penyertaan dari 11 bandar utama seluruh negara. Juara dari setiap negeri termasuk Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah telah diterbangkan ke Kuala Lumpur bagi perlawanan akhir yang menjadi kemuncak kepada siri kejohanan peringkat negeri.

Iklan

Kejohanan ini bukan sahaja menampilkan semangat kesukanan, malah memberi peluang kepada para peserta untuk menjalin hubungan lebih erat sesama rakan Grab serta bertemu dengan ikon bola sepak tempatan.

Iklan

Festival Rakan Grab yang berlangsung serentak dengan perlawanan akhir turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti lapangan dan pameran daripada rakan-rakan strategik GrabBenefits.

Program ini menonjolkan pelbagai sokongan dan insentif yang disediakan untuk komuniti rakan Grab, yang kini berasaskan lima teras utama iaitu insurans, takaful dan perlindungan sosial, tawaran harian, akademi, penyelesaian kewangan gig dan komuniti.

Sejak awal tahun ini, Grab Malaysia telah memperuntukkan lebih RM10 juta untuk memperluas manfaat dan sokongan bersepadu bagi memastikan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakan-pemandu dan penghantar terus terpelihara.

Antara detik istimewa dalam acara ini ialah penganugerahan Everyday Heroes Awards kepada individu-individu cemerlang dalam komuniti Grab sepanjang tahun 2024. Anugerah ini mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam beberapa kategori termasuk Best Service Award, Most Ride/Deliveries Award dan Longest Serving Partner.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata, acara seperti ini merupakan bukti sokongan padu syarikat terhadap rakan Grab di seluruh negara.

“Perlawanan Akhir Piala Rakan Grab Peringkat Kebangsaan dan Festival Rakan Grab adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyokong dan mengiktiraf komuniti rakan kami.

“Ia adalah satu cara bermakna untuk kami berinteraksi dengan mereka di luar rutin harian, menggalakkan perpaduan, kerja berpasukan, dan semangat kesukanan melalui bola sepak,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dalam komuniti, tetapi turut mencerminkan komitmen Grab untuk terus memperkasa dan membangkitkan potensi rakan-rakannya dari pelbagai latar belakang.