ROMPIN - Peniaga kedai makan maut selepas motosikal ditunggang terbabas melanggar tiang papan tanda jalan di Jalan Felda Selancar 4 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif ShainSharif Mondoi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Mohd Junaidi Ahmad, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Felda Selancar 4 menuju ke kedainya di Felda Selancar 2.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang papan tanda jalan.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Sharif Shai berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.