Kemajuan teknologi yang terus berkembang membolehkan manusia meneroka setiap pelusuk di dunia tanpa batasan. Namun, terdapat juga lokasi yang dikawal ketat kerana larangan yang dikenakan atas beberapa faktor. Sebahagian lokasi kekal ditutup kepada orang ramai atas sebab keselamatan, kepercayaan agama, kajian saintifik atau melindungi maklumat rahsia. Berikut ialah 10 lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan untuk dilawati di dunia.
--------
1. Area 51 (Amerika Syarikat)
Kawasan 51 atau Area 51 terletak di Gurun Nevada sejak 1955. Tidak banyak maklumat tentang lokasi misteri ini kerana kawalan keselamatan yang ketat selain berada di kawasan terpencil. Ia didakwa menjadi 'tapak ujian' untuk Angkatan Tentera Udara AS dan Agensi Risikan Pusat (CIA). Pentaasub teori konspirasi pula mengaitkannya dengan makhluk asing seperti dipaparkan dalam kebanyakan filem sains fiksyen Hollywood.
2. Makam Qin Shi Huang (China)
Kisah legenda mendakwa kompleks di daerah Lintong di Xi'an, wilayah Shaanxi yang ditutup kepada umum selama lebih 2,000 tahun itu dilindungi oleh perangkap beracun dan sungai merkuri serta panah tersembunyi. Penerokaan arkeologi hanya tertumpu kepada kerja penggalian ribuan Tentera Terracotta di bahagian timur makam Maharaja pertama China tersebut sejak penemuannya pada 1974.
3. Ilha da Queimada Grande (Brazil)
Pulau ini melarang kunjungan pelancong kerana ia menjadi habitat kira-kira 4,000 spesies ular kapak kepala emas yang bisanya boleh membawa maut. Ia 'sesak' dengan reptilia dan haiwan berbahaya itu yang boleh ditemui dalam radius satu meter persegi. Akses ke Pulau Ular ini hanya terhad kepada penyelidik dari Institut Pemuliharaan Biodiversiti Chico Mendes.
4. Kuil Besar Ise (Jepun)
Ia didedikasikan khas untuk Amaterasu iaitu Dewi Matahari dalam mitologi Jepun. Oleh itu, akses ke kuil ini hanya terhad kepada paderi dan ahli keluarga diraja untuk mengekalkan kesuciannya. Seni binanya yang tersergam indah adalah hasil daripada penyelenggaraan intensif yang menelan kos agak tinggi dijalankan setiap tempoh 20 tahun.
5. Pulau Sentinel Utara (India)
Pelancong dilarang menjejakkan kaki ke pulau ini bukan kerana ancaman haiwan, tetapi disebabkan oleh penduduk asal mereka iaitu suku Sentinel yang tidak mesra dengan orang luar. Komuniti itu menetap di pulau itu sejak lebih 50,000 tahun lalu dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Suku Orang Asli Kepulauan Andaman dan Nicobar 1956.
6. Gua Lascaux (Perancis)
Ia pernah menjadi lokasi pelancongan popular di Paris antara 1948 dan 1963 sebelum ditutup sepenuhnya kepada orang ramai. Hal ini kerana lukisan prasejarah berusia kira-kira 17,000 tahun telah rosak akibat peningkatan suhu, kelembapan dan mikrob. Pelancong bagaimanapun masih boleh mengkaji hasil seni daripada era Paleolitik Atas melalui replika gua digelar Lascaux II.
7. Chichén Itzá (Mexico)
Tapak arkeologi yang pernah menjadi bandar terbesar ini dibangunkan puak Maya ketika Zaman Klasik Terminal di Tinúm, negeri Yucatán. Pada 2006, seorang pelancong maut selepas terjatuh dari puncak Kuil Kukulcan (nama lain bagi piramid purba itu). Susulan insiden tersebut, pengunjung hanya dibenarkan untuk melihat salah satu Tujuh Keajaiban Dunia itu dari jauh.
8. Svalbard Global Seed Vault (Norway)
'Bilik kebal Hari Kiamat' ini menyimpan lebih 100 juta jenis biji benih dari seluruh dunia yang dipelihara dalam 'bank gen' dan terletak jauh di dalam sebuah gunung di Spitsbergen. Ia ditutup kepada orang ramai dan hanya boleh diakses untuk tujuan penyimpanan biji benih dan digelar sebagai pelan perlindungan terakhir untuk bekalan makanan dunia.
9. Arkib Rahsia Vatican (Vatican City)
Akses ke arkib ini sangat terhad kerana ia menyimpan pelbagai maklumat tentang Gejera Katolik dan dokumen penting lain seperti surat tokoh seni terkenal Itali, Michelangelo kepada Paus Julius II yang disimpan di rak atau kemudahan bawah tanah sepanjang 85 kilometer.
10. Pravická Brána (Republik Czech)
Ia merupakan formasi batuan sempit atau gerbang batu pasir semula jadi yang terbesar di Eropah dan salah satu monumen alam semula jadi paling menakjubkan di Pergunungan Batu Pasir Elbe. Keadaan gerbang itu yang rapuh menyebabkan ia kini terhad kepada orang ramai atas faktor keselamatan.