KUALA KANGSAR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mengeluarkan beberapa varieti baharu durian bagi membuka peluang komersial yang lebih luas dalam industri pertanian negara.
Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, pihaknya menjangkakan tiga varieti baharu akan diperkenalkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Bagaimanapun katanya, pihaknya belum yakin untuk mengeluarkannya kerana perlu meneliti kesesuaian lokasi lain di dalam negara.
“Dalam produk akan datang, terdapat tiga varieti yang akan diketengahkan, antaranya di Jerangau (Terengganu) dan Kuala Kangsar.
“Kod masih belum ditentukan. Mungkin selepas pelancaran nanti, kita akan perkenalkan nama tertentu yang sesuai untuk varieti tersebut,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Zabawi turut memaklumkan bahawa durian hibrid MARDI Super 88 (MS88) akan diberikan nama baharu yang lebih komersial bagi menarik minat peminat raja buah itu.
“Bagi MS88, kita ingin mencuba juga untuk menukar nama kepada sesuatu yang lebih menarik. Sekarang ini ada pelbagai nama seperti tupai king yang sebenarnya berasal daripada varieti lama.
“Musang king contohnya berasal daripada D197 tetapi dinamakan semula untuk menarik perhatian pengguna. Jadi, kita cuba cari nama yang lebih 'catchy' untuk MS88 ini,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 13,000 pokok durian varieti MS88 telah ditanam di seluruh negara dan dipantau sepenuhnya oleh MARDI.
“Setakat ini, ada pokok yang berusia dua hingga tiga tahun. Dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, ia boleh dipasarkan secara meluas.
“Selain itu, kita mungkin mencari pengusaha yang boleh dijadikan pusat pengumpulan hasil daripada penanam sebelum MS88 dieksport,” ujarnya.
MS88 yang dihasilkan melalui teknik penghibridan bukan sahaja terkenal dengan rasa manis dan tekstur berkrim, malah mempunyai tahap ketahanan penyakit yang setanding dengan varieti premium lain.