Ahmad Zahid bawa suara UMNO kepada PM

Iklan
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin pada Sabtu.

TAMPIN- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa Perdana Menteri dalam waktu terdekat bagi menyampaikan suara ketua-ketua bahagian UMNO berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menggunakan budi bicaranya sebagai Perdana Menteri untuk memastikan hasrat tersebut dapat dipenuhi tanpa menyentuh hal berkaitan perundangan.

Iklan
Iklan

“Saya sendiri akan menyampaikan hasrat ketua-ketua bahagian UMNO kepada Perdana Menteri dan mudah-mudahan beliau dapat menggunakan budi bicaranya sebagai Perdana Menteri bagi mengusahakan agar hasrat tersebut dapat dipenuhi melalui tata kelola dan tata cara perundangan sedia ada, dan akan disegerakan.

“Jadi, saya akan secepat mungkin berjumpa Perdana Menteri, mungkin dalam tempoh sehari dua ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin, di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Jelas Timbalan Perdana Menteri itu, perjumpaan tersebut diadakan atas inisiatif pemimpin bahagian UMNO sendiri dan ketika itu, beliau berada di luar negara.

Iklan

Beliau turut percaya bahawa desakan yang disuarakan oleh ketua-ketua bahagian, yang diwakili oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, bukanlah bertujuan mencampuri kuasa Yang di-Pertuan Agong atau tugas Perdana Menteri.

“Hasrat yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Mohd Shafei, yang mewakili kawan-kawan, datang daripada suara akar umbi dan mereka memfokuskan kepada soal Titah Adendum yang melibatkan Najib, tanpa berhasrat mencampuri kuasa Yang di-Pertuan Agong atau mengganggu tugas-tugas Perdana Menteri,” katanya.

Jelasnya, hasrat akar umbi UMNO itu merupakan manifestasi kegelisahan dan keprihatinan terhadap nasib Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyangkal kenyataan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, yang mendakwa desakan terhadap Perdana Menteri boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Tidak ada gangguan atau gugat yang timbul kerana kita tidak menyatakan apa-apa selain daripada itu.

“Jadi, saya harap sesiapa sahaja yang meragui perjumpaan itu harus sedar bahawa kita tidak pernah berniat untuk mencabuli kestabilan politik yang sedia ada di negara ini,” ujarnya.