'Mangsa mandi di lokasi sebelum tenggelam' – Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit berhampiran Jalan Cili Merah 24/26, Seksyen 24 pada Jumaat.

SHAH ALAM – Dua kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas berhampiran Sungai Klang, Seksyen 24 di sini pada Jumaat dipercayai telah mandi di kawasan tapak projek mitigasi banjir tersebut sebelum tragedi berlaku.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 8.50 malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan air bertakung di tapak projek berkenaan.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 9 dan 12 tahun, telah pergi ke lokasi tersebut untuk mandi sebelum dipercayai lemas dalam kawasan takungan air itu.

Iklan

“Saksi di tempat kejadian turut memaklumkan bahawa kedua-dua kanak-kanak tersebut dilihat bermain dan mandi di kawasan terbabit sebelum tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Iklan

“Tiada sebarang kesan pergelutan atau kecederaan lain yang boleh membawa kepada kematian ditemui pada tubuh mangsa.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat pada Sabtu jam 11 pagi,” katanya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (Sudden Death Report – SDR).

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa dua kanak-kanak maut dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah parit berhampiran Jalan Cili Merah 24/26, Seksyen 24 di sini pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Che Syazwan Irwan Shah, 12, dan Arshidayan Arijanto, 9, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.