Jurulatih ‘pontianak’ paksa pelajar derma darah

Iklan
Jian mendakwa dipaksa derma darah ratusan kali demi kredit akademik. - Agensi

TAIPEI – Seorang jurulatih bola sepak wanita di Taiwan dipecat selepas didakwa memaksa pelajarnya menderma darah secara berlebihan bagi mendapatkan kredit akademik untuk menamatkan pengajian.

Skandal mengejutkan itu terbongkar selepas seorang pelajar Universiti Normal Nasional Taiwan (NTNU), dikenali sebagai Jian, mendedahkan bahawa dia dan rakan-rakan dipaksa menjalani sesi pendermaan darah yang berlarutan sehingga 14 hari berturut-turut.

Iklan
Iklan

Ia meliputi tiga kali sehari dari jam 5 pagi hingga 9 malam iaitu semata-mata untuk melengkapkan keperluan 32 kredit akademik.

“Darah dan peluh demi kredit. Saya betul-betul rasa nak meletup. Pada hari kelapan berturut-turut, mereka tidak dapat cari urat pun. Cuba di pergelangan tangan pula, pun gagal.

Iklan

"Sakit sangat, saya menangis dan akhirnya mereka berjaya selepas enam cubaan,” kata Jian dalam satu hantaran di media sosial bersama video dirinya menangis.

Darah dilaporkan diambil oleh individu tidak terlatih atas alasan “kajian kampus”, malah subsidi penyelidikan yang sepatutnya untuk pelajar turut didakwa dikutip oleh jurulatih, Zhou Tai-ying, 61, sebagai dana pasukan.

Iklan

Beberapa pelajar lain turut tampil membuat pendedahan di media sosial, termasuk seorang yang berkata dia terpaksa mengambil cuti kerana tekanan mental dan buli berpanjangan oleh jurulatih tersebut.

“Saya langsung tak beritahu ibu bapa sebab tak nak mereka risau. Ayah saya dah meninggal dunia sebelum saya sempat ceritakan semuanya. Maaf? Mungkin di kehidupan seterusnya,” tulis seorang lagi mangsa.

NTNU dalam kenyataan pada 13 Julai lalu mengumumkan pemecatan Zhou daripada semua jawatan pentadbiran dan kejurulatihan serta melarangnya mengetuai mana-mana pasukan sukan.

Zhou turut mengemukakan surat permohonan maaf bertulis dengan mengaku kesal atas tekanan emosi yang dialami pelajar dan kerosakan reputasi institusi itu.

Bagaimanapun, surat itu serta kenyataan rasmi universiti kemudiannya dipadam dari laman media sosial universiti.

Pihak berkuasa pendidikan tempatan telah mengeluarkan penalti pentadbiran ke atas NTNU dan mengarahkan tindakan pembetulan.

Insiden itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Taiwan, dengan ramai menyifatkannya sebagai kes"cubaan membunuh" secara sistematik. - Agensi