Pengasuh direman dua hari bantu siasatan kes bayi mati di taska

Iklan
Pengasuh berusia 26 tahun (tengah) direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.

MELAKA – Seorang pengasuh taska direman selama dua hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang berlaku pada petang Rabu lalu.

Perintah reman terhadap wanita berusia 26 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari.

Iklan
Iklan

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Melaka kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai polis, sebelum dibawa keluar sejam kemudian menaiki kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di sebuah taska di Padang Temu, dipercayai akibat lemas.

Kejadian disedari pengasuh kira-kira jam 5 petang ketika memeriksa keadaan bayi tersebut, namun bayi disahkan meninggal dunia sebaik dirujuk ke Hospital Melaka.

Iklan

Menurut sumber, pengasuh melihat bayi berkenaan dalam keadaan tertiarap dengan muka sudah kebiruan, lalu segera membawanya kepada pengusaha taska sebelum bayi dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor cuba memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans, namun bayi tersebut disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas sekali lagi diberikan CPR.

Sumber itu memaklumkan hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang tanda unsur jenayah pada tubuh mangsa.