BUKIT MERTAJAM – Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Fatin Nurul Hanis Hafizam yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan implan koklea.
Pembedahan tersebut amat penting kerana ia memberi peluang dan harapan kepada anak bongsu daripada dua beradik itu untuk keluar daripada dunia tanpa pendengaran.
Ibunya, Azreen Abd Rahim, 41, berkata, Fatin Nurul Hanis telah menggunakan alat bantuan pendengaran sejak berusia setahun setengah, namun alat tersebut tidak banyak membantu pendengaran dan perkembangan pertuturannya.
Menurutnya, doktor mencadangkan agar anaknya menjalani pembedahan implan koklea di telinga kanan dengan segera bagi mengelakkan perkembangan bahasanya terjejas.
“Pembedahan itu akan membantu anak saya untuk mendengar, seterusnya belajar dan bercakap kerana ketika ini dia berada pada peringkat kritikal dalam pembelajaran bahasa.
“Jika pembedahan dilakukan segera dan disusuli dengan latihan pertuturan, dia mempunyai harapan untuk mula berkomunikasi serta mengikuti pembelajaran secara normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Azreen yang bekerja sebagai guru berkata, dia kini berdepan kekangan kewangan untuk menampung kos pembedahan sebanyak RM70,000, lebih-lebih lagi selepas kehilangan suami, Hafizam Mat Ayub yang meninggal dunia pada usia 48 tahun pada Mac lalu akibat komplikasi radang paru-paru.
“Saya kini tinggal di rumah ibu dan ayah yang telah berusia.
“Selain membesarkan dua anak termasuk anak sulung berusia 15 tahun, saya turut membantu menyara kedua-dua orang tua,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati membantu keluarga dari Putrajaya itu untuk mengumpul dana daripada orang ramai memandangkan keperluan yang mendesak.
Jelas beliau, pembedahan Fatin Nurul Hanis dijadualkan pada 7 Ogos depan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817).