SEJAK kebelakangan ini, beberapa pendedahan berkaitan aktiviti jenayah melibatkan pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan mencetuskan perhatian meluas.
Perkara berkenaan dibawa ke hadapan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi siasatan dan pemantauan rapi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan bahawa pihaknya kini menumpukan usaha pengesanan dan risikan terhadap individu yang dipercayai menyalahgunakan perniagaan untuk tujuan jenayah.
Menurutnya, beberapa tangkapan sebelum ini membongkar pembabitan segelintir pengasas produk tempatan dalam kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Lebih mengejutkan, modus operandi yang digunakan agak konsisten dengan berselindung di sebalik dunia keusahawanan dan media sosial untuk menutup operasi haram mereka.
Pendedahan berkenaan bukan sahaja menarik perhatian media arus perdana, malah mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Ada yang menyambut baik ketegasan polis, namun tidak kurang yang melihat tindakan itu sebagai cubaan memburukkan imej Kelantan.
Sentimen tersebut perlu ditangani dengan cermat kerana isu jenayah bukan soal negeri, bangsa atau politik sebaliknya soal integriti, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
Kerajaan Kelantan sendiri mengakui serius menangani penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin mencengkam terutama dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah harus digerakkan bersama semua agensi secara konsisten dan menyeluruh.
Beliau menyifatkan siri tangkapan besar-besaran dengan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit sebagai bukti nyata keberkesanan penguatkuasaan polis di peringkat negeri.
Dalam masa sama, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan membanteras sindiket dadah dan menyeru agar masyarakat tidak termakan persepsi negatif yang cuba memalitkan nama buruk kepada negeri ini.
Apa yang perlu diberi keutamaan kini adalah menyokong tindakan polis, memperkukuh kerjasama antara agensi serta memastikan tiada ruang untuk penjenayah bersembunyi di sebalik dunia perniagaan atau populariti.
Akhirnya, siapa pun mereka sama ada dari Kelantan atau negeri lain, jika terbabit jenayah, serahkan sahaja kepada pihak berkuasa kerana undang-undang tidak memilih latar belakang, yang salah tetap salah.