Netizen pertikai layanan istimewa kucing Presiden Indonesia

Iklan
Presiden Prabowo bersama kucing berkenaan. Agensi

JAKARTA– Seekor kucing milik Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menjadi tumpuan netizen selepas videonya menerima layanan istimewa diiringi anggota polis tular di media sosial.

Kucing bernama Bobby Kertanegara itu hadir di acara Cat Lovers Social Day 2025 pada 12 Julai lalu dengan sambutan karpet biru dan kawalan ketat oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Penyelidik Institut Kajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS), Made Supriatma, menyifatkan layanan terhadap haiwan peliharaan itu sebagai melampau dan tidak wajar, apatah lagi apabila melibatkan penggunaan fasiliti negara yang dibiayai oleh wang rakyat.

“Seekor kucing bukan ketua negara. Ini keterlaluan. Tiada justifikasi untuk layanan sebegini,” kata Made kepada Tempo pada Rabu.

Iklan

Beliau turut membandingkan layanan terhadap haiwan peliharaan pemimpin dunia lain seperti Larry the Cat, kucing rasmi di pejabat Perdana Menteri Britain serta anjing Presiden Amerika Syarikat.

Katanya, tiada layanan seumpama itu diberikan meskipun kepada haiwan peliharaan pemimpin berprofil tinggi.

Iklan

“Anjing Presiden Biden pernah beberapa kali menggigit anggota keselamatan, namun Biden membayar sendiri kos rawatan. Tiada penghormatan rasmi kepada haiwan-haiwan ini,” tambahnya.

Bobby Kertanegara, seekor kucing kampung mula tinggal di kediaman Prabowo di Jalan Kertanegara sejak 2016 dan kini turut menghuni Istana Presiden di Jakarta.

Kucing itu sering kelihatan dalam kereta sorong khas bertanda logo “BK” dan turut hadir dalam acara rasmi kerajaan, termasuk ketika menyambut tetamu negara.

Antara tetamu kenamaan yang pernah diperkenalkan kepada Bobby termasuk Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dan Pengasas Microsoft, Bill Gates yang mana masing-masing menghadiahkan aksesori khas kepada kucing tersebut semasa kunjungan rasmi.

Namun, tindakan membawa Bobby secara rasmi dalam acara negara dan dikawal oleh pasukan keselamatan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

“Sedih... duit rakyat digunakan untuk kawal seekor kucing?” tulis seorang pengguna di platform X.

Ada juga yang menyokong dengan sinis, menyatakan lebih baik menjaga kucing daripada menjaga pegawai yang “tidak berguna”.

Sehingga kini, pejabat Presiden dan Setiausaha Negara belum memberikan sebarang maklum balas rasmi meskipun permintaan pengesahan telah dihantar oleh pihak media.- Agensi