Pasangan kekasih bebas kes edar 1.2kg dadah

Iklan
Kah Soon (kiri) dibebaskan daripada kes dadah, ditemani peguamnya Sivahnanthan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur warga tempatan dan teman wanitanya yang juga warga Thailand dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar 1,208.7 gram dadah empat tahun lalu.

Hakim, K Muniandy memutusan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tan Kah Soon, 49, dan teman wanitanya, Pattarathida Petcharanon, 39, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan kes, beliau berkata, ada kelemahan ketara dalam kes pendakwaan antaranya rantaian simpanan bahan bukti dan jurang masa yang tidak dijelaskan.

Beliau berkata, ia membabitkan tempoh penemuan bahan dan penghantaran ke makmal untuk dianalisis.

Iklan

Kah Soon (kiri) dibebaskan daripada kes dadah, ditemani peguamnya Sivahnanthan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

"Bukti saintifik yang dikemukakan menimbulkan keraguan munasabah terhadap identiti dan kesahihan bahan berbahaya tersebut serta hubung kaitnya secara langsung dengan kedua-dua tertuduh.

Iklan

"Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Zaileen Nadia Zubir sementara peguam, Sivahnanthan Ragava mewakili pasangan terbabit.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya iaitu 647.1 gram methamphetamine dan 561.6 gram ketamin di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, pada 10.50 malam, 9 November 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.