KOTA BHARU – Dalam suasana ekonomi serba mencabar hari ini masih ada lagi insan berhati mulia yang berniaga sambil bersedekah demi memastikan orang di sekelilingnya tidak berlapar.
Hal tersebut telah menyebabkan restoran ikan bakar yang diusahakan oleh Ab Ghani Mohd Nawi di Kampung Telaga Bata di sini menjadi tumpuan ratusan pelanggan pada setiap hari.
Ini kerana individu berusia 41 tahun itu hanya mengenakan bayaran ke atas lauk-pauk yang disediakan manakala nasi putih, minuman, ulam-ulaman dan budu pula percuma.
Niat Ab Ghani tiada lain iaitu mahu memastikan orang kampung juga mampu menikmati hidangan ikan bakar walaupun hanya mempunyai wang RM5.
“RM5 pun sudah cukup untuk makan satu set lengkap dengan seekor ikan kembung bakar.
“Sangat dialu-alukan, sesiapa sahaja boleh datang makan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Susulan itu Ab Ghani berkata, sekurang-kurangnya tiga guni atau lebih 100 kilogram beras digunakan setiap hari bagi menampung jumlah pelanggan yang mencecah lebih 1,000 orang, terutama pada hujung minggu.
“Walaupun berdepan peningkatan kos bahan mentah, kami enggan menaikkan harga.
“Kami kekalkan harga lama. Untung mungkin kecil, tetapi cukup dan yang penting orang kampung boleh makan,” ujarnya.
Menurutnya, tujuan utama beliau berniaga bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi, sebaliknya sebagai usaha berterusan bagi membantu mereka yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
“Saya tahu saya tak mampu bantu semua orang, tapi kalau dapat bantu sedikit pun sudah memadai.
“Makan ini keperluan asas. Jangan sampai ada yang kelaparan,” katanya.
Tambahnya lagi, amalan memberi secara konsisten itu bukan dilakukan bermusim, sebaliknya menjadi rutin sejak mula berniaga empat tahun lalu.
“Dari dulu sampai sekarang, harga tak pernah berubah. Kalau nak untung lebih, cuma naikkan harga sahaja tapi itu bukan tujuan saya.
“Kalau pelanggan tak ramai, memang tak balik modal. Alhamdulillah, sejak mula berniaga kedai tak pernah kosong,” katanya.