Gaduh dengan bekas isteri, lelaki pukul anak hingga lebam

Iklan
Suspek ditahan selepas disyaki memukul anaknya dalam kejadian di Tawau.

TAWAU – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memukul anak perempuannya berusia 14 tahun sehingga cedera dan mengalami trauma, dalam kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan bekas isterinya.

Suspek berusia 42 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 8.30 malam Rabu, susulan laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya pada hari sama.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi Isnin lalu di rumah nenek mangsa, tempat gadis itu kini menetap. Suspek dikatakan memukul mangsa menggunakan objek keras pada bahagian telinga kiri dan seluruh badan.

Iklan

“Akibatnya, mangsa mengalami lebam di seluruh badan dan trauma. Dia kemudian menghubungi ibunya di Kota Kinabalu untuk memaklumkan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Champin, motif kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian antara suspek dan bekas isterinya, berkaitan satu tuduhan yang dilemparkan di hadapan anak mereka.

Iklan

Katanya, bertindak atas laporan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam.

"Turut dirampas, satu gulung plastik berwarna kelabu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan pernah disabitkan serta dijatuhkan hukuman,” katanya.

Champin memaklumkan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan terhadap kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai alasan mendera anak-anak.

“Sebarang bentuk pengabaian, keganasan atau pendedahan kepada bahaya boleh memberikan kesan buruk terhadap emosi dan keselamatan kanak-kanak, serta boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.