IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga durian kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu diambil dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kuala Kangsar baru-baru ini.
“Daripada empat premis yang diperiksa, satu premis telah dikenakan kompaun sebanyak RM200 atas kesalahan di bawah Seksyen 14(6), Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana gagal menentusahkan semula alat timbang elektronik.
“Tindakan ini penting kerana kita mahu melindungi hak pengguna dan memastikan ketelusan dalam urus niaga,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di Ipoh, pada Khamis.
Menurut Kamalludin, pemeriksaan seumpama itu dijalankan setiap hari termasuk dalam musim durian sekarang yang menyaksikan lambakan buah tersebut di beberapa lokasi seperti Batu Kurau.
“Kita memang ada operasi berkaitan durian dan pemeriksaan dilakukan secara harian. Maklumat juga dikongsi di media sosial rasmi KPDN untuk makluman orang ramai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menjadi lebih bijak dan berani membuat pilihan serta melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga.
“Kalau tengok harga durian RM50 sekilogram dan rasa tak berbaloi, jangan beli. Kita ada hak sebagai pengguna untuk memilih dan membuat perbandingan.
“Tengok dahulu senarai harga dan periksa alat timbang sama ada telah ditentusahkan atau tidak. Jika ada keraguan, laporkan kepada KPDN, kami akan segera buat pemeriksaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, KPDN sedang melaksanakan Ops Kesan 4.0 di seluruh Perak bagi memantau dan mengekang aktiviti pencatutan susulan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.
Katanya, sehingga 16 Julai, sebanyak 48 premis melibatkan 239 barangan telah diperiksa bagi tujuan analisis dan pengumpulan data harga.
Jelasnya, dalam tempoh sama, pihak KPDN telah menerima satu aduan berkaitan pencatutan dan perkara tersebut sedang disiasat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM500,000.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen Kita Gempur yang dilancarkan pada 19 Oktober 2024 bagi membanteras manipulasi harga secara agresif,” katanya.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencatutan atau manipulasi harga digesa menyalurkan aduan lengkap melalui saluran rasmi KPDN.