KUALA LUMPUR - Ketika semakin banyak negeri mengambil langkah mengharamkan penjualan runcit produk vape, wakil industri dan pertubuhan pengguna menggesa kerajaan melaksanakan kawal selia yang lebih seimbang dan menyeluruh, berbanding larangan yang dikhuatiri hanya akan menggalakkan pasaran gelap dan menjejaskan kesihatan awam.
Mereka menegaskan keperluan untuk menumpukan kepada penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), sambil menyuarakan kebimbangan bahawa larangan di peringkat negeri akan menjejaskan ekosistem industri sah yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) dan Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia dalam satu kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap trend larangan vape di peringkat negeri yang semakin meluas, dengan menyatakan bahawa tindakan itu tidak akan menghapuskan penggunaan vape sebaliknya berpotensi mendorong pengguna ke saluran tidak sah yang lebih berisiko.
“Industri vape di Malaysia bukanlah sektor pinggiran. Ia adalah industri yang sah, dikawal selia dan menyumbang signifikan kepada ekonomi negara,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Samsul Kamal Ariffin berkata, isu sebenar terletak pada ketidakseimbangan kawal selia yang hanya tertumpu kepada runcit dan pengguna akhir, manakala pengilangan serta import-eksport kurang diberi perhatian.
“Penguatkuasaan kini hanya tertumpu di premis dan menyasarkan pengguna runcit. Pembancuh cecair vape pula tidak dikenakan sebarang tindakan. Ini menyebabkan wujudnya vakum dalam penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, industri vape bukan hanya melibatkan penjual dan pembeli, sebaliknya ia membentuk satu ekosistem lengkap dengan rantaian bekalan tersendiri.
Cecair vape, katanya, mengandungi bahan-bahan seperti gliserin sayuran (VG), propylene glycol (PG), nikotin dan perasa iaitu ramuan yang juga digunakan dalam pembuatan makanan yang biasa seperti aiskrim dan kek.
"Justeru pada asasnya, cecair vape itu tidak sepatutnya membahayakan," katanya kepada Sinar Harian.
Samsul turut menyentuh isu penyalahgunaan vape dalam kalangan remaja bawah 18 tahun yang didakwa terlalu mudah memperoleh produk tersebut, berikutan ketiadaan dasar penjualan yang jelas.
“Vape kini dijual di kedai serbaneka, restoran, ejen bergerak dan pelbagai saluran lain. Dasar peruncitan yang kabur menyukarkan penguatkuasaan.
“Saya mewakili 60,000 individu yang menentang penyalahgunaan vape dalam kalangan pelajar. Kami mencadangkan supaya pelanggan yang memiliki rupa paras bawah umur perlu membuat perisytiharan bertulis sebelum dibenarkan berurus niaga,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan agar vape tidak dibenarkan dijual dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan sekolah, terutama jenis pod pakai buang yang menarik minat pelajar.
Menurut Samsul, kawal selia juga perlu meliputi aspek kandungan dan pembungkusan cecair vape supaya tidak dicampur bahan terlarang.
“Ini hanya boleh dilaksanakan melalui dasar dan piawaian pembungkusan yang jelas oleh kementerian, menggantikan peruntukan minimum sedia ada,” katanya.
Vape sebagai alternatif kurangkan ketagihan
Dalam pada itu, Samsul menegaskan bahawa penggunaan vape boleh membantu perokok dewasa berhenti merokok secara beransur.
“Banyak kajian kes di Britain menunjukkan vape lebih berkesan daripada pil, alat pelekat atau gula-gula getah untuk berhenti merokok,” katanya sambil menambah bahawa komposisi cecair vape adalah selamat jika digunakan dengan betul.
Untuk rekod, penggunaan vape kini tertakluk kepada Akta 852 yang mengawal selia penjualan, pengilangan serta import-eksport produk vape.
Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu bakal mengharamkan penjualan runcit vape bermula 1 Ogos 2025, manakala Johor telah melaksanakan larangan tersebut sejak 2015.
Namun begitu, penggunaan masih dibenarkan di negeri-negeri tersebut.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pernah menyatakan bahawa cukai vape mampu menyumbang sehingga RM500 juta setahun kepada negara.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin pula menjelaskan bahawa meskipun kos penguatkuasaan dianggarkan sebanyak RM142 juta, kutipan cukai semasa telah mencecah RM376 juta.
“Isu pokok ialah memastikan cecair vape import tidak memasuki negara sama ada secara sah atau haram. Produk dari sumber gelap jauh lebih berbahaya. Ini bukan sahaja isu kesihatan, tetapi juga isu hasil negara,” tegasnya.
Armin turut menggesa pemantauan lebih ketat terhadap produk import dan menekankan bahawa matlamat akhir penggunaan vape ialah untuk membantu perokok berhenti merokok.
“Setiap titis cecair vape perlu memenuhi piawaian yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia,” katanya.
Beliau juga menekankan pentingnya penguatkuasaan yang adil dan konsisten antara peringkat negeri dan persekutuan.
"Kita tidak boleh ada undang-undang yang sah di peringkat persekutuan tetapi tidak diikuti di peringkat negeri. Kedai khusus vape ditutup, tetapi produk pod boleh dibeli di kedai runcit biasa. Ini melucukan,” katanya.
Mengenai isu sama, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, perbincangan semula antara semua pemegang taruh perlu diadakan.
“Di mana ada permintaan, di situ ada bekalan. Penyelesaian terbaik ialah melalui rundingan yang mencapai titik menang-menang antara pihak berkepentingan,” katanya.