Kerajaan beri kuasa kepada PBT bertindak ke atas rumah ibadat tidak sah

Iklan
Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari Kompleks F, hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Walaupun keputusan itu bakal mengundang kontroversi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mempunyai undang- undang yang perlu dihormati oleh semua.

Iklan
Iklan

"Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan (pencerobohan) dan majlis perbandaran (PBT) diberi keizinan untuk 'membersihkan' kuil bukan hak.

"Saya tahu boleh mengundang kontroversi. Negara ini negara hukum," katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, suatu ketetapan masa perlu diberikan kepada pihak pengurusan rumah ibadat bagi mengelakkan percambahan yang tidak sah.

“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana, di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung.

Iklan

“Kalau betul haram, janganlah pergi ambil kapak. Kena bagi masa, tapi kalau dibiar setahun pun tak selesai, itu pun masalah. Jadi mesti ada ketetapan dan peraturan dan hukum,” jelas beliau.

Anwar berkata, prinsip asas yang perlu difahami ialah semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja atau kuil tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sama, khususnya berkaitan pemilikan serta kelulusan tanah.

“Masjid dan gereja yang dibangunkan ikut peraturan. Begitu semua yang lain, jadi harus cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.

“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan beraturan,” ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan, isu pembinaan rumah ibadat haram bukan perkara baharu, sebaliknya dasar kerajaan berkaitan perkara itu telah berterusan sejak pentadbiran terdahulu.

“Ia seolah-olah baru timbul semalam, hanya kerana kes di bawah PMX jadi kacau-bilau.

"Hakikatnya, semua kerajaan sebelum ini, dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan,” jelas Anwar.

Katanya, kerajaan komited mencari penyelesaian yang adil dan menghormati semua agama, namun tidak boleh berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang.

“Islam ialah agama Persekutuan, agama lain diberi hak masing-masing tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh, kerana kita ikut jalan hukum.

“Kalau di atas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat dengan merampas tanah orang lain.

"Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dijadikan sah,” katanya.

Dalam ucapan itu, Anwar memberi contoh Batu Caves sebagai rumah ibadat yang sah dan mendapat kelulusan, termasuk cadangan pembinaan eskalator bagi kemudahan penganut Hindu.

“Batu Caves itu mendapat kelulusan... Ia tidak mengganggu tanah orang, tak paksa, tak rampas hak orang lain. Dia nak teruskan (pembinaan eskalator) supaya masyarakat Hindu dapat teruskan amal mereka.

"Pandangan saya, cadangan itu boleh diteruskan dan telah saya sampaikan kepada Menteri Besar Selangor,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, termasuk di kawasan awam.

“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung.

"Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah,” katanya.

Anwar turut menjelaskan, terdapat kes tertentu yang akan dipertimbangkan secara berasingan, termasuk rumah ibadat yang telah lama wujud tetapi tidak mungkin akan mempertahankan jika semua rumah ibadat dibina tanpa kelulusan sah.

“Kalau ada kes yang sudah wujud 200 tahun dan minta pertimbangan, itu kita nilai sebagai kes lain tetapi jangan guna alasan sudah lama wujud untuk wajib diluluskan.

“Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kebenaran dan kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan? Tak boleh. Sebab itu penjelasan ini mesti jadi dasar kefahaman semua pihak,” katanya.