SHAH ALAM - Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan kejayaan rampasan berjumlah RM419.5 juta dan tangkapan 1,254 orang pada tahun ini.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, statistik dengan jumlah 5,293 kes itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga 15 Julai lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, tangkapan terdiri daripada 650 warga tempatan dan 604 warga asing.
"Pelbagai kes dicatatkan antaranya melibatkan Akta Kastam 1968, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Akta Hidupan Liar 2011, Akta Perikanan 1985 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Daripada jumlah kes dicatatkan, penyeludupan migran atau pendatang asing tanpa izin (PATI) merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah kes keseluruhan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 pula melibatkan kes menggajikan kru asing tanpa permit yang sah, manakala tangkapan terhadap sindiket penyeludupan dari negara jiran membabitkan warga Indonesia yang menggunakan bot pancung pada waktu malam.
Tambah Shamsol, antara modus operandi yang dikesan PPM ialah penggunaan bot fiber kecil tanpa lampu bagi mengelak dikesan radar dan penglihatan waktu malam.
"Ada juga taktik sindiket menyamar sebagai nelayan tempatan, menggunakan laluan pesisir terpencil dan sungai kecil bagi mengelak laluan utama yang sering dipantau pihak berkuasa, melakukan pemindahan barang atau orang di tengah laut serta penggunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram dan pengiklanan di media sosial seperti TikTok," ujarnya.
Tegasnya, PPM memberi amaran keras kepada sindiket dan individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan manusia dan dadah.
"PPM turut mengingatkan komuniti maritim dan penduduk pesisir supaya tidak berkompromi dengan sindiket serta melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan. Kerjasama orang awam sangat penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara," katanya.