SEREMBAN - Permohonan pelarasan tarif air di Negeri Sembilan masih dalam proses penelitian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum dibawa ke peringkat kerajaan Persekutuan untuk kelulusan muktamad.
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan itu dikemukakan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat serta memastikan kelestarian perkhidmatan bekalan air di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, pelarasan tarif juga penting bagi menampung kos naik taraf infrastruktur dan penyelenggaraan aset air yang semakin usang seperti paip jenis Asbestos Cement yang kerap pecah dan menyebabkan gangguan bekalan.
“Permintaan bekalan air semakin meningkat terutamanya di kawasan pesat membangun seperti Seremban dan Port Dickson, selain pertambahan penduduk melebihi 700,000 orang serta pembangunan industri di kawasan Malaysian Vision Valley 2.0, Sendayan.
“Perubahan iklim juga memberi kesan kepada kualiti sumber air mentah yang memerlukan rawatan lebih kompleks dan mahal bagi memastikan ia menepati piawaian air minum kebangsaan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Bagi tempoh 2021 hingga 2026, SAINS memperuntukkan hampir RM1.3 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah Pelan Perniagaan syarikat termasuk projek naik taraf loji rawatan air, pembinaan rumah pam baharu, program pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) serta penggantian paip lama di seluruh negeri.
“Pelarasan kadar tarif ini adalah kunci bagi menjamin sumber kewangan yang mampan untuk menampung kos pelaksanaan projek-projek pembangunan ini.
“Cadangan semakan semula kadar tarif ini dijangka melibatkan lebih 490,000 akaun pelanggan di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut SAINS, pengguna domestik yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu sebulan masih akan menerima subsidi, di mana kadar baharu yang dicadangkan masih berada di bawah kos operasi sebenar.
SPAN sebelum ini mengesahkan telah menerima permohonan semakan semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator di 10 negeri, termasuk Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Selasa turut mengesahkan penglibatan negeri ini dalam permohonan tersebut, mengambil kira peningkatan kos operasi yang ketara.
Sementara itu, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan tarif air dan berpendapat langkah itu tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini, memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan ekonomi.