Kereta terjunam dalam sungai: Ija Nizaruddin belum ditemui, radius pencarian diperluas

Iklan
Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi pada hari kedua di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong pada Rabu. (Gambar kecil: Ija Nizaruddin )

MUAR – Radius operasi mencari dan menyelamat pempengaruh yang dipercayai hilang selepas kereta dipandunya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong, di sini pada Selasa, diperluas hingga 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari berkata, operasi hari kedua mengesan mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau dikenali sebagai Ija Nizaruddin dimulakan pada jam 8.50 pagi.

Iklan
Iklan

“Operasi hari ini membabitkan tujuh anggota unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar serta 11 anggota termasuk tiga pegawai dari BBP Pagoh.

“Turut terlibat seorang pegawai dan 26 anggota termasuk polis. Pencarian dijalankan di air menggunakan bot polis dan bomba selain operasi menyisir di kawasan darat,” katanya.

Iklan

Sebelum itu, media melaporkan kehilangan Ija Nizaruddin yang juga pempengaruh permotoran selepas kereta Perodua Axia dipandunya ditemui di dasar sungai itu tanpa dirinya di dalam kenderaan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama adik lelakinya, Tengku Abdul Aziz, 30, bergerak secara berasingan dari Johor Bahru ke Muar atas urusan perniagaan kira-kira jam 2 petang Isnin.

Iklan

Kali terakhir mangsa berhubung dengan ahli keluarga sekitar jam 4 petang hari sama sebelum gagal dihubungi ketika dalam perjalanan ke bengkel rakannya di Parit Bakar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian itu dan sehingga kini tiada mangsa ditemui dengan pasukan penyelamat giat menjalankan operasi pencarian lelaki itu.

"Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian bagi membantu siasatan," katanya.