Pesara tentera didakwa amang seksual, rogol anak usia 12 tahun hingga hamil

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandung berusia 12 tahun sehingga hamil, sejak tahun lalu.

IPOH - Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandung berusia 12 tahun sehingga hamil sejak tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak berkenaan yang ketika itu berusia 12 tahun dan sembilan bulan dalam bilik utama sebuah rumah di Batu Gajah dalam daerah Kampar sekitar jam 11.30 malam pada pertengahan Disember tahun 2024.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga anak ketiga daripada enam beradik.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik utama dan ruang tamu rumah pada pertengahan Disember tahun lepas dan sekitar Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh selain beberapa syarat tambahan yang ketat.

Tertuduh yang diwakili Peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya itu perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan enam anak yang masih bersekolah dengan pendapatan wang pencen RM1,800 sebulan.

Katanya, dalam kes ini, tertuduh telah memberikan aku janji untuk tinggal berasingan daripada mangsa dan bersedia untuk mematuhi segala syarat tambahan yang dikenakan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM21,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada awal bulan, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.