'Bila mereka ramai, kami pun rasa takut'

Iklan
Jafri menemubual warga asing yang ditahan semasa operasi di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan pada Selasa.

SERI KEMBANGAN - Pangsapuri Putra Permai Selesa di sini yang menjadi hotspot penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur pada Selasa.

Operasi bersepadu bermula jam 10 malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama JIM Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Iklan
Iklan

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Ali, 45 mendakwa, pangsapuri empat tingkat yang mempunyai empat blok itu mula dibanjiri warga asing yang menyewa di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Bila dah ramai-ramai di sini kami pun rasa takut juga, tapi nak buat macam mana rumah orang, mereka nak sewakan, takkan nak marah orang pula.

Iklan

“Harapan saya, kita sebagai orang Malaysia ini tak perlu lah galak sangat nak sewakan rumah kepada orang asing ini. Nanti, kita juga yang tanggung akibat," katanya.

JIM melakukan proses dokumentasi terhadap penghuni warga asing di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, golongan warga asing kebiasaan 'aktif' pada waktu malam hingga awal pagi dengan membuat bising, namun tidak kelihatan pada siang hari kerana majoritinya dipercayai bekerja di pasar borong berhampiran.

Difahamkan, kebanyakan unit kediaman di situ disewakan kepada warga asing pada kadar antara RM700 hingga RM1,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, seramai 741 warga asing telah diperiksa dan 494 disyaki PATI membabitkan 357 lelaki, 107 wanita serta 32 kanak-kanak telah ditahan.

Katanya, tangkapan melibatkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Thailand dan Kemboja.

"Antara kesalahan dikesan adalah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan.

"Kebanyakan mereka bekerja di Pasar Borong Selangor, premis berhampiran, sektor pembinaan serta pembantu rumah," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini.

Turut hadir Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin.

Tambah Jafri, lokasi berkenan adalah antara ltitik panas penempatan PATI di Selangor dan operasi bersepadu tersebut akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.

Tegas beliau, JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

"Orang ramai disaran tampil menyalurkan maklumat tentang PATI untuk tindakan lanjut JIM," ujarnya.

Dalam pada itu, Jafri memaklumkan, bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026, JIM telah melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 di mana warga asing boleh pulang ke negara asal dengan bayaran denda sebanyak RM500 dan pas khas sebanyak RM20.