Gempur PATI jumpa markas judi online

Iklan
Jafri (tiga dari kanan) meninjau premis kediaman yang dikesan beroperasi dipercayai sebagai premis judi online ketika serbuan tangkapan PATI di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan pada Selasa.

SERI KEMBANGAN - Serbuan di Pangsapuri Putra Permai Selesa di sini yang menjadi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikejutkan dengan pembongkaran unit kediaman yang diubah suai dipercayai menjadi markas judi online.

Operasi bersepadu bermula jam 10 malam, Selasa itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama JIM Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Iklan
Iklan

Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi mendapati segelintir warga asing yang enggan memberi kerjasama untuk membuka pintu selain bersembunyi di dalam almari dan memanjat bumbung.

Jafri (tengah) melihat antara aplikasi disyaki judi online semasa serbuan di unit kediaman di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan pada Selasa.

Iklan

Malah, penghuni warga asing terbabit juga mematikan sumber elektrik konon tiada penghuni.

Namun tindakan itu hanya sia-sia selepas kecekapan pasukan operasi melakukan pemeriksaan teliti dan pantas.

Iklan

Semasa pemeriksaan setiap unit kediaman di empat blok yang berketinggian empat tingkat, tiga daripada unit rumah itu disyaki beroperasi sebagai premis judi online.

Terdapat penemuan deretan meja yang dilengkapi tablet selain terdapat buku catatan dan premis diawasi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu yang dikunci.

Seorang penduduk dikenali sebagai Yati, 30-an berkata, premis beroperasi 24 jam itu sering dikunjungi penghuni warga asing pangsapuri berkenaan.

"Kadang-kadang yang jaga orang Bangladesh dan Indonesia. Waktu nampak sibuk bila mereka (kaki judi) lalu lalang pada malam.

"Kalau lihat warga asing ini keluar masuk, saya pun risau," katanya.

Tambahnya, terdapat juga beberapa insiden pergaduhan warga asing yang bersenjatakan parang selain membuat kecoh dengan bunyi bising serta mabuk.

"Kalau hari minggu mereka berkumpul itu biasa. Pernah saya nampak sesama mereka ini bergaduh sebab kacau isteri orang, siap berparang. Kita tengok pun takut," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tiga premis terbabit disyaki dimiliki warga tempatan apabila pemeriksaan pasukan operasi mendapati bil elektrik atas nama warga tempatan.

Jelasnya, pekerja dan pelanggan membabitkan dalam kalangan warga asing.

"Bil elektrik itu di atas nama tiga individu berbeza," ujarnya kepada pemberita di sini selepas operasi.

Tegasnya, tindakan susulan ke atas premis perjudian itu telah diserahkan kepada pihak MBSJ bagi siasatan seterusnya.