Ibu tergamak jual dua anak lelaki demi hidup mewah

Iklan
Huang ditahan polis selepas memperdagangkan kedua anaknya. - Agensi

FUZHOU – Seorang wanita di China dihukum penjara selepas didapati menjual dua anak kandungnya sendiri demi memberi tip kepada hos siaran langsung dan membeli pakaian mewah untuk dirinya.

Wanita berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Huang itu bukan sahaja menjual anak sulungnya, malah sengaja mengandungkan anak kedua semata-mata untuk dijual demi keuntungan.

Iklan
Iklan

Dia berasal dari wilayah Guangxi dan hanya berpendidikan rendah. Huang kemudian berpindah ke Fuzhou, wilayah Fujian dan menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja sambilan.

Menurut laporan media tempatan, Huang sendiri merupakan anak angkat dan dibesarkan tanpa pendidikan serta perhatian mencukupi, menyebabkan dia meninggalkan rumah pada usia muda.

Iklan

Pada Oktober 2020, dia melahirkan anak lelaki pertama. Namun disebabkan tekanan kewangan dan ketiadaan bapa kepada bayi itu, dia mengambil keputusan untuk menjual anak tersebut.

Tuan rumahnya yang dikenali sebagai Wei memperkenalkan seorang saudara bernama Li yang ingin mengambil anak angkat kerana anaknya tidak mampu melahirkan anak.

Iklan

Keluarga Li membayar 45,000 yuan (RM29,000) untuk mengambil bayi tersebut.

Namun, semua wang hasil jualan bayi itu dihabiskan Huang dengan memberi tip kepada hos siaran langsung dan membeli pakaian mahal.

Selepas kehabisan wang, Huang dilaporkan mula mencari lelaki untuk melakukan hubungan seks dengan niat untuk hamil dan menjual bayi lagi.

Pada tahun 2022, dia melahirkan seorang lagi anak lelaki bernama Guyu dan menjualnya kepada seorang broker pada harga 38,000 yuan (RM24,700).

Bayi itu kemudiannya dijual semula oleh broker tersebut pada harga 103,000 yuan (RM66,950).

Kes berkenaan terbongkar selepas pihak berkuasa menerima laporan pada April 2022.

Siasatan polis menemukan mesej dalam telefon bimbit Huang berkaitan urusan jual beli bayi.

Kedua-dua kanak-kanak itu berjaya diselamatkan polis dan kini di bawah jagaan jabatan kebajikan tempatan sementara menunggu proses pengambilan anak angkat.

Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Rakyat Daerah Jin’an di Fuzhou menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dua bulan terhadap Huang atas kesalahan penipuan dan pemerdagangan manusia, selain denda 30,000 yuan (RM19,500).

Li dihukum penjara sembilan bulan dengan penangguhan satu tahun kerana membeli anak hasil pemerdagangan, manakala Wei dijatuhkan hukuman tujuh bulan penjara.

Pemerdagangan kanak-kanak di China sering didorong oleh kejahilan, kemiskinan dan keinginan pasangan tidak subur untuk mengekalkan keturunan. - Agensi