KUANTAN – “Pagi tadi saya kejutkan dia untuk solat Subuh seperti biasa sebelum bersiap ke sekolah. Tidak sangka, itulah kali terakhir saya lihat wajahnya.”
Demikian luahan hiba Norizan Mat, 48, ibu kepada Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, pelajar tahun dua jurusan Syariah, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat SMK Paya Besar, Jalan Kuantan-Gambang, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi, Firdaus, yang juga seorang hafiz 30 juzuk al-Quran, meninggal dunia bersama rakannya, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah.
Menurut Norizan, pagi kejadian, anaknya bangun seperti biasa dan bersiap ke kuliah menaiki motosikal.
Mereka bagaimanapun tidak sempat bertegur sapa kerana masing-masing tergesa-gesa ke tempat kerja dan pengajian.
“Malam sebelumnya pun arwah pulang lewat, tetapi tiada sebarang tanda pelik. Semuanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Norizan, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah, menyifatkan arwah anak keduanya daripada enam beradik itu sebagai seorang yang sangat baik, sopan dan tidak pernah melawan kata sejak kecil.
“Dia anak yang baik bukan sahaja kepada saya, tapi dengan semua orang. Seorang hafiz yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran sejak sekolah menengah dan kini menyambung pengajian dalam bidang Syariah di UnIPSAS," katanya.
Mengulas detik menerima perkhabaran duka itu, dia dimaklumkan ketika sedang mengajar sebelum diminta segera ke hospital untuk bertemu doktor.
“Sebaik tiba di hospital, doktor memaklumkan arwah telah meninggal dunia. Saya reda. Saya yakin dia anak yang baik dan semoga dia bersama para solihin," ujarnya.
Difahamkan, sebelum ini arwah tinggal di asrama, namun mula berulang-alik dari rumah ke kampus sejak memasuki tahun dua pengajian.