MELAKA - Sebuah syarikat jualan baja tanaman sanggup menyewa tiga buah banglo di kawasan perumahan elit di Ayer Keroh di sini untuk dijadikan pusat aktiviti pembungkusan semula baja yang dijual di aplikasi TikTok.
Namun, ‘lubuk emas’ mereka yang menjana pulangan sehingga RM400,000 sebulan akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menggempur lokasi tersebut dalam serbuan Op Samar 5.0, pada Selasa.
Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan dilakukan selepas risikan yang dilakukan sejak seminggu lalu mengenai aktiviti kilang membungkus baja di banglo tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan dalam rumah tersebut menemui 4,165 kilogram (kg) baja bernilai RM6,789 yang akan dibungkus sebelum diedar ke seluruh negara, selain mendapati syarikat mempunyai seramai 15 orang pekerja.
Katanya, dua daripada rumah banglo itu dijadikan pejabat urusan dan tempat siaran langsung jualan TikTok yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu tanpa kebenaran atau kelulusan Pengawal Bekalan KPDN.
"Kita dapati mereka tidak mendapat kebenaran untuk berurusan (berniaga) dengan barang kawalan iaitu baja serta lesen daripada pihak berkuasa tempatan, lesen runcit dan borong.
"Jadi siasatan awal mendapati dua kesalahan tekah dilakukan iaitu mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesalahan yang dilakukan di bawah ATS 1972 mendapati syarikat ini telah menggunakan alat sukat tidak ditentusahkan yang mana tempahan dibuat melalui TikTok dan syarikat membungkus semula baja yang dibeli dari tempat lain dalam peket lebih kecil yang diragui sukatannya.
Ujarnya, tidak menolak kemungkinan syarikat itu memilih beroperasi di perumahan elit berbanding di kawasan perkilangan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Pertama kita jumpa kes di negeri Melaka dan mungkin di Malaysia.
"Malah kita juga sukar untuk masuk sebab dikawal ketat oleh pengawal keselamatan kerana rumah-rumah di sini diduduki orang kenamaan dan elit," katanya lagi.
Selain itu jelasnya, pengusaha memberikan alasan dia tidak tahu perlu memohon lesen sebab penyewa rumah memberitahu boleh melakukan perniagaan seperti itu.
Katanya, siasatan turut mendapati syarikat terbabit mempunyai lesen perniagaan tapi didaftarkan di tempat lain.