Polis bongkar kilang haram, rampas RM2.1 juta jongkong aluminum

Iklan
Dzulkhairi melihat alat kawalan jauh yang belum diproses dalam serbuan itu.

MELAKA - Polis Melaka berjaya membongkar sebuah kilang memproses barangan elektronik terpakai (e-waste) yang beroperasi secara haram selepas merampas 300 tan jongkong aluminium dianggarkan kira-kira RM2.1juta.

Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dilakukan jam 11 pagi pada Selasa itu, turut menahan seramai 25 pekerja asing terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar berusia 20 hingga 45 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegiatan tersebut berjaya dihidu selepas pihaknya membuat risikan dan pemantauan sejak seminggu lalu sebelum serbuan dilakukan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, beradasarkan siasatan awal kilang berkenaan dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak lebih tiga bulan lalu dengan meleraikan dan melebur komponen elektronik untuk menghasilkan jongkong aluminium.

Iklan

Dzulkhairi menunjukkan jongkong aluminum yang telah diproses dari e-waste.

“Hasil serbuan, sebanyak 300 jongkong aluminium yang setiap satu seberat satu tan telah dirampas dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM2.1 juta.

Iklan

"Turut dirampas bahan mentah seperti alat kawalan jauh dan komponen kamera litar tertutup (CCTV) yang belum diproses," katanya ketika sidang akhbar di lokasi serbuan di Bukit Rambai di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan elektronik berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk diproses di sini sebelum dieksport semula ke negara China dan beberapa negara lain yang mempunyai permintaan terhadap logam hasil peleraian tersebut.

Ujarnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik kilang terbabit selain tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian syarikat lain terlibat serta kaitan dengan kilang haram itu.

Dzulkhairi (tengah) ketika melihat jongkong aluminium sebelum dipercayai dieksport ke luar negara.

"Kegiatan ini berlaku kerana banyak negara maju melarang pemprosesan e-waste disebabkan risiko pencemaran.

"Jadi kita percaya mereka mungkin ambil kesempatan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat transit," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63, dan jika disabitkan kesalahan mengikut peruntukan Jabatan Alam Sekitar, pesalah boleh didenda sehingga RM10juta.