KOTA BHARU - Demi memastikan kecergasan dan daya tahan tinggi ketika menjalankan amanah sebagai anggota polis, seorang konstabel nekad mengubah gaya hidup secara total hingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 27.8 kilogram (kg).
Konstabel Mohammad Aiman Abdullah, 32, dari Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menurunkan berat badan dari 105.8 kg kepada 78 kg dalam tempoh enam bulan melalui penyertaan pada Program Biggest Losses peringkat polis Kontinjen Kelantan.
Lebih membanggakan, transformasi fizikal itu dicapai tanpa sebarang bantuan ubat pelangsing atau gimnasium, sebaliknya hanya menerusi disiplin pemakanan ketat, mengelak nasi dan gula serta konsisten melakukan senaman berjalan laju setiap hari.
“Saya nekad ubah cara hidup sebab saya sedar tugas sebagai anggota polis bukan kerja ringan.
“Kalau tak cergas, macam mana nak kejar penjenayah. Saya potong terus nasi, tak minum manis dan minum air putih saja,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby.
Mohammad Aiman muncul johan dengan Indeks Jisim Badan (BMI) menurun kepada 28 daripada 37.9 dalam tempoh program bermula November tahun lepas hingga April lalu.
Katanya, keputusan secara sukarela untuk berubah itu hadir apabila menyedari tahap kesihatannya terganggu seperti cepat semput ketika menjalankan tugasan luar.
“Kurus bukan sebab bergaya tetapi tanggungjawab saya kepada pasukan dan masyarakat.
“Saya sendiri tak sangka boleh turunkan hampir 28 kilogram,” ujarnya.
Cabaran penurunan berat badan itu disertai seramai 354 anggota, pegawai dan kakitangan awam PDRM Kelantan yang dikenal pasti berada dalam kategori obes berdasarkan rekod awal pemeriksaan kesihatan.
Sebanyak 90 daripada jumlah mereka itu berjaya keluar dari kategori berkenaan.