'Hadiah untuk mak' – Anak suku Jakun terima tawaran ke Universiti Manchester

Iklan
Roziana (kanan) dan Siti Hawani (kiri) Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) JAKOA, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM 2024 di sebuah hotel di sini pada Selasa. Foto Sinar Harian

KUANTAN – “Saya perlu bagi ibu sesuatu supaya boleh ingat yang dia besarkan saya tidak sia-sia.”

Demikian kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Roziana Tan Beng Hai, 20, yang menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial di Universiti Manchester, United Kingdom.

Iklan
Iklan

Anak Orang Asli kaum Jakun itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan kini sedang menunggu kelulusan biasiswa daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menyambung pengajian di luar negara.

Menurut Roziana, permohonan ke universiti tersebut dibuat melalui sistem Universities and Colleges Admissions Service (UCAS) selepas mengetahui peluang tersebut menerusi platform TikTok.

Iklan

“Saya menerima dua tawaran, satu dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial, dan satu lagi dalam Perhubungan Antarabangsa. Saya pilih ekonomi, dan kini sedang menunggu keputusan permohonan biasiswa serta akan menduduki ujian kelayakan IELTS bagi melengkapkan syarat tawaran,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) JAKOA bagi calon SPM dan STPM 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Iklan

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Mohd Zamri Mustajap.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menyifatkan kejayaan ini sebagai hadiah untuk ibunya, Rohani Wambuan, 56, yang membesarkannya dengan penuh pengorbanan.

“Sebelum ini, ibu hanya menoreh getah dan kini bekerja di ladang kelapa sawit. Jadi, saya nak balas jasa mak yang besarkan kami dua beradik seorang diri,” katanya sebak.

Roziana turut menyeru pelajar Orang Asli, khususnya dalam kalangan kaum Jakun, agar berani menonjolkan kemampuan dan tidak takut untuk bertanya atau bersaing secara sihat.

“Jangan malu, tunjukkan kebolehan kita,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Rompin, Siti Hawani Muhammad Almi, 18, daripada kaum Semelai, turut menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang SPM selepas memperoleh 9A termasuk 1A+.

Beliau memaklumkan sudah menerima tawaran menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu, bulan depan.

“Saya memang bercita-cita menjadi cikgu kerana terinspirasi dengan guru di sekolah. Saya pernah menjadi guru muda SPM untuk bantu rakan-rakan, dan dari situ timbul semangat nak mengajar,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha dan keberanian keluar dari zon selesa.

“Saya dulu cuma dapat 5A atau 6A, tapi untuk SPM saya paksa diri belajar lebih kuat hingga berjaya capai 9A,” katanya yang kini bercita-cita menjadi ustazah.

Sementara itu, Mohd Zamri berkata, seramai 149 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM tahun ini, membabitkan 116 pelajar SPM dan 33 pelajar STPM.

Katanya, pencapaian ini menunjukkan semakin ramai anak Orang Asli berjaya dalam pendidikan dan diharap menjadi agen perubahan dalam komuniti mereka.

“Maklumkan kejayaan ini kepada kawan-kawan dan penduduk kampung agar mereka terus belajar hingga berjaya.

“Jika momentum ini berterusan dengan bantuan dasar kerajaan serta sokongan pelajar sebagai agen perubahan, insya-ALLAH lebih ramai masyarakat luar bandar akan berjaya sekali gus mengurangkan kadar keciciran pendidikan,” katanya.