Ketiadaan Ketua Hakim Negara tidak lumpuhkan mahkamah - Srikandi PKR

Iklan
Srikandi PKR tolak dakwaan kehakiman lumpuh tanpa Ketua Hakim Negara. Foto hiasan

PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa ketiadaan Ketua Hakim Negara menyebabkan institusi kehakiman lumpuh disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Ketua Srikandi PKR, Nurhidayah Che Rose menegaskan bahawa sistem kehakiman negara masih berjalan seperti biasa dan teratur walaupun pelantikan Ketua Hakim Negara masih belum dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

“Mahkamah Persekutuan masih boleh bersidang selagi mempunyai bilangan hakim yang mencukupi seperti diperuntukkan di bawah Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, struktur kehakiman Malaysia yang melibatkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret juga kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Iklan

Justeru itu, katanya, kenyataan berunsur spekulatif seperti itu hanya membangkitkan persepsi negatif terhadap institusi kehakiman dan boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem sedia ada.

“Srikandi menyeru semua pihak termasuk ahli Parlimen dan pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan awam.

Iklan

"Jangan sesekali mempermainkan isu pelantikan kehakiman untuk tujuan politik sempit.

"Kita wajib memelihara kredibiliti institusi kehakiman, bukan merosakkannya demi agenda peribadi,” jelas Nurhidayah.

Beliau turut menegaskan bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara adalah tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan ia dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas menerima syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Proses ini telah lama diamalkan secara telus dan selari dengan semangat Perlembagaan. Ia bukan isu yang wajar dimanipulasi untuk kepentingan politik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Srikandi PKR turut merakamkan penghargaan kepada rakyat termasuk Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar yang menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman pada Isnin.

“Perarakan ini berlangsung dalam suasana tertib dan berdisiplin menandakan kematangan politik rakyat Malaysia dalam menyuarakan pandangan secara demokratik.

"Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan wanita, belia dan pemimpin pelapis memperlihatkan betapa rakyat hari ini lebih celik terhadap prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang serta integriti institusi negara,” katanya.