Utamakan rakyat dalam setiap pembangunan

Iklan
Tragedi enam sekeluarga maut di Sungai Korok, Jitra telah membuka mata banyak pihak berhubung kekurangan infrastruktur.

TRAGEDI enam sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra bukan sahaja mengundang pilu, malah membuka mata banyak pihak berhubung kekurangan infrastruktur serta aspek keselamatan jalan raya di kawasan berisiko.

Kawasan yang menjadi saksi tragedi pada Sabtu itu bukan kali pertama meragut nyawa.

Iklan
Iklan

Perkara ini didedahkan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim yang memaklumkan, Sungai Korok telah merekodkan lapan kematian dalam tempoh lima tahun sejak 2021, termasuk insiden terbaharu membabitkan enam beranak yang maut dalam kenderaan mereka.

Tragedi terbaharu ini wajar menjadi isyarat jelas bahawa tindakan pencegahan lebih serius perlu dilakukan segera, khususnya lokasi berhampiran sungai dan tali air tanpa penghadang mahupun pencahayaan.

Iklan

Antara faktor yang menjadikan laluan tersebut berbahaya ialah ketiadaan pengadang konkrit di bahu jalan berhampiran sungai, selain keadaan jalan sempit dan gelap pada waktu malam.

Situasi ini menyebabkan pemandu berisiko terbabas ke dalam sungai sekiranya gagal mengawal kenderaan, terutamanya ketika hujan atau jika memandu dalam keadaan penat.

Iklan

Ketiadaan papan tanda amaran zon berisiko serta had laju yang sesuai di kawasan itu turut menjadikan laluan tersebut sebagai ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya, terutamanya penduduk kampung yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Faktor kecuaian pemandu, keletihan atau mengantuk ketika memandu terutama pada waktu malam tidak boleh diabaikan. Pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan tiada kerosakan seperti brek tidak berfungsi yang boleh menjadi pencetus insiden.

Bagi mengelakkan tragedi sama berulang, langkah penambahbaikan segera perlu diambil. Ini bukan masanya menuding jari mencari kesalahan, ini masanya untuk semua pihak berganding bahu mencari idea penyelesaian.

Pemasangan pengadang konkrit atau pagar keselamatan sepanjang tebing sungai berdekatan jalan amat wajar disegerakan, selain memasang lampu jalan di kawasan gelap yang berisiko bagi meningkatkan jarak penglihatan.

Untuk jangka pendek, disarankan agar pihak berwajib memasang papan tanda amaran kawasan bahaya dan had laju khusus di lokasi kemalangan.

Untuk jangka panjang, pihak berkuasa tempatan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya mengadakan audit keselamatan jalan secara berkala.

Bagi pihak pemandu, inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemanduan berhemah di jalan kampung terutamanya pada waktu malam dan cuaca buruk perlu dilakukan.

Antara aspek menarik berkaitan tragedi ini ialah bagaimana kuasa tular dan media sosial mempercepatkan kesedaran masyarakat termasuk tindakan pihak berkuasa.

Jika sebelum ini insiden kemalangan di kawasan tersebut jarang diketahui umum dan tidak mendapat perhatian meluas, kini rakaman video dan gambar tragedi enam beranak itu tersebar pantas, mengundang simpati masyarakat serta tindakan segera pihak berkuasa serta pemimpin setempat.

Dalam kes tersebut, gambar dan video anggota bomba menarik kereta yang tenggelam dalam sungai bersama enam mayat menjadi titik tular, sehingga meruntun hati netizen.

Kuasa viral bukan sahaja menjadi pemangkin kepada tindakan pantas pihak berkuasa, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk mendesak penambahbaikan infrastruktur di kawasan berisiko secara kolektif.

Tragedi ini mengingatkan kita semua bahawa keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab pemandu semata-mata, tetapi juga memerlukan keseriusan pihak berkuasa membaik pulih infrastruktur jalan agar lebih selamat.

Selain itu, tindakan proaktif pihak berkuasa memantau kawasan berisiko tinggi serta pendidikan pemanduan berhemah dan penguatkuasaan wajar berjalan seiring.

Nyawa yang terkorban bukan sekadar angka statistik, tetapi menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan jalan raya harus menjadi keutamaan untuk memastikan insiden seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Rakyat perlu diutamakan dalam setiap keputusan pembangunan infrastruktur negara, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia negara selamat untuk semua pengguna jalan raya.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara