KOTA BHARU - Seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz berwarna merah diminta menyerahkan semula beg yang diragut di hadapan sebuah kafe di Lotus Lembah Sireh di sini pada Ahad.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, didapati penunggang motosikal yang memakai topi keledar telah meragut barangan seorang wanita ketika mangsa sedang berjalan ke arah parkir.
Difahamkan, kejadian terbabit berlaku pada jam 7.28 petang.
Sehubungan itu satu hantaran yang meminta suspek memulangkan semua beg diragut tular di media sosial.
Hantaran dipercayai dimuat naik oleh premis kopi berkenaan berserta tangkap layar kejadian.
"Abe Yamaha Ego Solariz tu. Ata smula la. Ada masa lagi nk ata tu.
"Dei tubik dashcam dan cctv lain gak, payah dah nk kecek kiro," demikian ayat yang ditulis di hantaran tersebut.
Video selama 25 saat itu meraih tontonan sebanyak 222,000 di Facebook serta mendapat 236 komen dan 436 perkongsian oleh warganet.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Katanya, laporan penuh berhubung kejadian akan dikeluarkan dalam masa terdekat.