SEBERANG JAYA - Puluhan penghantar makanan GrabFood di Pulau Pinang menjadi mangsa penipuan sindiket yang memperdaya mereka melalui pesanan tunai semasa penghantaran (COD) dengan taktik meminta tambah nilai Touch ‘n Go (TnG).
Koordinator Gabungan Rider Phailing Pulau Pinang (GRPPP), Mohd Bukhari Mohd Noor berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab ini dikesan sejak beberapa bulan lalu dipercayai sindiket menggunakan akaun palsu untuk membuat pesanan makanan.
Menurutnya, 'scammer' terbabit menghubungi 'rider' melalui aplikasi untuk meminta pembelian barangan tambahan seperti tambah nilai TnG.
"Selepas pesanan dibuat, 'scammer' akan menghantar mesej melalui sistem chat di aplikasi dan meminta 'rider' membeli barangan tambahan kononnya dia terlupa, seperti beberapa botol air minuman dan paling utama meminta 'topup' TnG dalam nilai RM50 hingga RM100.
"'Scammer' kemudiannya meminta 'rider' memberikan nombor pin tambah nilai tersebut melalui mesej, dan apabila sudah menerima nombor itu 'scammer' terus membatalkan pesanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Mohd Bukhari berkata, kes berkenaan banyak berlaku di sekitar kawasan Hospital Seberang Jaya dan dipercayai melibatkan individu bukan warganegara yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem keselamatan aplikasi penghantaran.
Pihaknya percaya, sindiket menggunakan nombor maya dalam aplikasi GrabFood, menyukarkan 'rider' dan pihak berkuasa menjejak pelaku tanpa kerjasama daripada pihak Grab.
Susulan itu, beliau bersama sekumpulan 'rider' tampil membuat laporan polis beramai-ramai di Balai Polis Seberang Jaya, di sini pada Isnin.
“Kami juga akan membawa perkara ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM), CyberSecurity Malaysia serta Grab Malaysia.
"Pada masa sama, kami ingin menggesa pihak TnG e-Wallet memperketatkan kawalan keselamatan sistem 'pin reload' bagi mengelak penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya lagi.